HomeUtamaFood Festival Borneo suntik semangat belia ceburi bidang perniagaan

Food Festival Borneo suntik semangat belia ceburi bidang perniagaan

Read Time:2 Minute, 11 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Food Festival Borneo Tour yang berlangsung di Tawau mencipta suasana meriah apabila ribuan pengunjung membanjiri lokasi festival yang menghimpunkan lebih 120 usahawan makanan dari seluruh negara.

Festival anjuran Havoc Event & Management Sdn Bhd dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu disifatkan sebagai satu inisiatif penting dalam menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan belia, terutamanya di Sabah.

Nizam (dua kiri) berbual dengan salah seorang pengusaha belia yang menyertai Food Festival Borneo di Kompleks Sukan Tawau. – Foto Sabah Media/ Sitti Nor Azizah Talata

Menurut Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, penyertaan aktif golongan muda dalam festival ini menunjukkan potensi besar yang boleh dibentuk melalui program-program seumpama ini.

“Penglibatan belia dalam festival ini sangat baik. Program ini merupakan satu suntikan semangat dan mampu melahirkan sikap positif dalam diri orang muda.

“Jika mereka mengambil peluang yang dibawa oleh penganjur, mereka boleh berjaya,” katanya ketika ketika ditemui media selepas merasmikan penutupan festival tersebut di Kompleks Sukan Tawau, di sini malam tadi.

Nizam juga memaklumkan bahawa terdapat belia yang sebelum ini tidak mempunyai premis perniagaan tetap, kini dapat memanfaatkan festival ini untuk menjual produk mereka secara langsung kepada orang ramai.

““Bukan semua perlu bermula dengan menyewa premis. Kita boleh bermula dari rumah dengan bisnes online. Festival seperti ini memberi alternatif kepada belia untuk memperkenalkan produk mereka dan mengembangkan perniagaan,” tambah beliau.

Havoc Food Festival Borneo Tour berjaya menghimpunkan pelbagai jenis makanan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah, sekaligus menonjolkan kepelbagaian budaya kulinari negara.

Sambutan hangat daripada warga Tawau juga membuktikan minat mendalam terhadap platform keusahawanan yang kreatif dan inklusif.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut merakamkan penghargaan kepada warga Tawau atas sambutan luar biasa serta kepada penganjur kerana berjaya menyediakan platform yang memberi impak besar terhadap perkembangan industri makanan tempatan.

“Saya berharap program ini mencapai matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera, bukan hanya di peringkat kampung dan daerah, malah hingga ke pasaran global. Usahawan yang berjaya ialah mereka yang tidak pernah mengenal erti gagal,” ujarnya.

Mengaitkan program ini dengan semangat Aidiladha, beliau menyatakan bahawa nilai pengorbanan adalah teras kejayaan dalam dunia perniagaan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa program seperti ini sejajar dengan hala tuju Kerajaan Negeri Sabah (SMJ 1.0) yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan sektor utama seperti pelancongan, perindustrian dan pertanian.

“Sekiranya festival ini dapat dijadikan acara kebangsaan, ia berpotensi menarik pelancong dari seluruh dunia ke Sabah dan menjadikan negeri ini sebagai lokasi penganjuran festival makanan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Festival ini bukan sahaja menjadi medan mempromosi produk makanan tempatan, tetapi juga sebagai pemangkin semangat kepada usahawan muda untuk terus maju dalam dunia perniagaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular