HomeUtamaKPT ucap takziah, kebajikan mangsa diutamakan

KPT ucap takziah, kebajikan mangsa diutamakan

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan kebajikan pelajar dan ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan bas yang terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi dijaga sepenuhnya.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya turut berduka cita atas tragedi yang menimpa 44 penumpang termasuk pemandu dan kelindan di dalam bas berkenaan.

“Saya bagi pihak KPT dan warga Sabah khususnya, kami mengucapkan takziah kepada semua mangsa terlibat dan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi sememangnya amat bersedih sebab kejadian ini berlaku dalam keadaan kita ingin mendidik terutama bakal-bakal cikgu.

“Jadi Kementerian akan minta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terutamanya supaya menjaga kebajikan-kebajikan pelajar ini dan keluarga mereka.  Kita akan uruskan dari segi penghantaran jenazah sumbangan yang diperlukan daripada Yayasan Perkasa Siswa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Parlimen Sepanggar di sini pada Isnin.

Mustapha berkata, pihaknya juga akan memastikan insuran yang dibayar oleh mangsa akan diuruskan dan diberikan kepada ahli keluarga terlibat.

“Setakat ini saya belum terima maklumat lagi tetapi kalau ada saya akan secara peribadi mengurus perkara ini.  Kalau ada pelajar Sabah terlibat, kita akan uruskan dengan bantuan Kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan 15 individu maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi.

Sementara itu, UPSI telah membuka bilik gerakan dan sebarang maklumat boleh menghubungi ditalian05-450 7148 (Pejabat) atau 019-571 9977 (Hotline).

Dalam pada itu, KPT dalam satu kenyataan berkata akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi kemalangan bas yang setakat ini mengorbankan 15 pelajar UPSI. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing cuba lari dari polis ditahan positif dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular