HomeUtamaBekas pengarah JPDS didenda RM700,000 berhubung kes rasuah

Bekas pengarah JPDS didenda RM700,000 berhubung kes rasuah

Read Time:2 Minute, 45 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dikenakan denda sebanyak RM700,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 15 pertuduhan rasuah melibatkan perkhidmatan penundaan kapal.

Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu ke atas Abel Ongkunik, 52, selepas mendengar fakta kes, rayuan hukuman daripada pihak pembelaan, dan hujah pemberat oleh pihak pendakwaan.

Abel sebelum ini mengaku bersalah pada 14 Mac lalu terhadap semua 15 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pilihan tersebut ditawarkan oleh pihak pendakwaan selepas menerima surat representasi daripada tertuduh. Jumlah keseluruhan wang yang terlibat dalam semua 15 pertuduhan berkenaan ialah RM632,296.03.

Mengikut pertuduhan, Abel semasa berkhidmat sebagai pengarah JPDS, menerima wang antara RM33,098.62 dan RM59,724.30 daripada dua syarikat berkaitan dengan tugas rasminya antara 2017 hingga 2018. Wang itu dimasukkan ke dalam akaun tiga syarikat di beberapa cawangan bank sekitar Kota Kinabalu, Lido, dan Kota Belud.

Kesalahan tersebut berkaitan dengan kelulusan pemberian kebenaran kepada sebuah syarikat menjalankan perkhidmatan penundaan di kawasan had pelabuhan Kimanis, serta kelulusan lesen kerja penundaan kepada sebuah lagi syarikat.

Mahkamah menetapkan denda antara RM38,000 hingga RM58,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh telah melunaskan keseluruhan denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh sebagai pengarah pada ketika itu, mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan kerja-kerja penundaan kapal oleh JPDS.

Tertuduh telah berjumpa dengan pemilik dua syarikat terbabit dan membuat perjanjian berkaitan kebenaran menjalankan penundaan kapal yang diberikan oleh JPDS kepada kedua-dua syarikat tersebut.

Siasatan turut mendedahkan bahawa tertuduh telah menerima wang daripada pemilik syarikat yang dimasukkan daripada akaun dua buah syarikat tersebut ke dalam akaun tiga buah Syarikat. Akaun dan urusan kewangan bagi tiga buah Syarikat tersebut adalah di dalam kawalan tertuduh.

Dalam rayuan, peguam Dominic Chew memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM650,000 hingga RM690,000 bagi semua 15 pertuduhan alternatif.

Dominic berkata anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal dan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

“Anakguam kami merupakan seorang penjawat awam yang mempunyai rekod prestasi yang baik sepanjang perkhidmatannya dengan Kerajaan Negeri Sabah.

“Disamping itu, anak guam kami telah bertaubat dan ingin meneruskan kehidupan beliau dengan pekerjaan barunya di Terengganu dan juga menjaga keluarganya sebaik yang mungkin dengan memperolehi pendapatan yang halal,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Izzati Sapifee, pula meminta hukuman berat serta mencadangkan supaya mahkamah mengenakan denda sekurang-kurangnya RM50,000 bagi setiap pertuduhan, mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada pihak lain.

Nurul berkata, tertuduh ketika kejadian memegang jawatan tertinggi di JPDS dan sepatutnya menunjukkan integriti tinggi dalam setiap urusan melibatkan jabatan berkenaan bagi menjaga imej perkhidmatan awam.

“Perbuatan tertuduh yang memegang jawatan pengarah melakukan kesalahan ini berkemungkinan menyebabkan syarikat-syarikat lain dinafikan peluang untuk mendapat permit yang sama. Sebagai pengarah juga, beliau tidak sepatutnya menjalinkan urusan peribadi dengan mana-mana individu atau syarikat berkaitan tugas rasminya,” katanya.

Tertuduh sebelum ini berdepan 29 pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 membabitkan rasuah berjumlah lebih RM1.29 juta. Abel mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut pada 15 Mac 2022.

Sebanyak 15 pertuduhan asal telah ditarik balik, manakalah 14 lagi baki pertuduhan dibawah Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 diambil pertimbangan mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

RELATED ARTICLES
Utama

503 premis di Sabah perlu perbaharui Perakuan Bomba, lima dalam proses...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular