Kota Kinabalu: Program Latihan Kepimpinan Belia Islam ASEAN selama sembilan hari yang dianjurkan bersama oleh Majlis Da’wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Majlis NGO Islam Sabah, akan diadakan di ibu negeri mulai 16 Ogos depan.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Kehormat RISEAP, Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar ketika memberi taklimat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada kunjungan hormat di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Mohamad Marzuki berkata, antara objektif program itu adalah untuk membina kompas moral dalaman yang diperlukan untuk kepimpinan Islam, menyediakan alat dan teknik untuk komunikasi yang berkesan, penyelesaian konflik dan membuat keputusan, serta mempromosikan keterangkuman dan rasa hormat di kalangan belia dari pelbagai negara ASEAN.
Selain itu, program ini juga direka untuk mendorong penglibatan proaktif dalam pembangunan masyarakat dan inisiatif dakwah serta mengukuhkan hubungan di kalangan belia untuk membina komuniti ASEAN yang berdaya tahan, aman dan beerwawasan.
Mohamad Marzuki diiringi oleh Yang Di-Pertua USIA Datuk Sapawi Ahmad. – SABAH MEDIA