HomeUtamaJKDM Sabah mematahkan penyeludupan bernilai RM16.6 juta

JKDM Sabah mematahkan penyeludupan bernilai RM16.6 juta

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan penyeludupan tiga jenis barang iaitu minuman keras, produk ayam beku dan beras di Pelabuhan Teluk Sepanggar, dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM16,668,938.04.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan / Pematuhan), Siti Mang, kejayaan tersebut merupakan hasil risikan dan operasi bersepadu yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kota Kinabalu bersama Cawangan Risikan Ibu Pejabat dalam tempoh dua minggu berakhir Mei lalu.

Dalam kes pertama, Siti memaklumkan bahawa rampasan terbesar melibatkan muatan 33 buah kontena berisi minuman keras jenis bir yang diperiksa antara 14 hingga 29 Mei lalu.

“Pemeriksaan mendapati sebanyak 659,856 liter minuman keras cuba diseludup masuk dengan pengikraran sebagai barangan aluminium. Barangan itu dianggarkan bernilai RM3,977,318.40, manakala jumlah duti dan cukai yang dielakkan mencecah RM11,866,109.64,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Teluk Sepanggar di sini hari ini (10 Jun).

Manakala kes kedua, pada 16 Mei lalu, sebuah kontena berisi produk ayam beku (dada ayam) seberat 28,008 kilogram dirampas selepas didapati tidak mempunyai permit import yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.

“Barangan tersebut diikrarkan sebagai produk sayur beku bagi mengaburi pihak berkuasa. Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM233,400 dengan duti dan cukai sebanyak RM93,360,” katanya.

Manakala rampasan ketiga berlaku pada 29 Mei melibatkan sebuah kontena berisi 150,000 kilogram beras wangi dan beras pulut yang diikrarkan sebagai beras hancur untuk makanan haiwan. Taktik ini digunakan bagi mengelak daripada keperluan permit import dan cukai. Jumlah nilai rampasan ialah RM356,250 dan cukai sebanyak RM142,500.

Kesemua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Saya menyeru orang awam untuk membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan, terutamanya membabitkan barangan berduti tinggi dan barangan larangan seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah serta makanan dan kenderaan yang dibawa masuk secara tidak sah.

“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran. JKDM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Bakar karikatur Perdana Menteri tindakan terdesak selepas himpunan gagal – Razeef

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular