Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Dua lelaki masing-masing dikenakan denda RM100 atau satu hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana secara curang memiliki wang ribuan ringgit dalam akaun bank mereka.
Tertuduh iaitu Harmi Dani Haikal Harmizy, 23, dan Wandy Lanley, 22, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Bagi kes Harmi, tertuduh didapati memiliki sebanyak RM24,800 dalam akaun banknya yang diperoleh dengan curang daripada seorang wanita pada 13 Jun 2024 di Manggatal Plaza, dekat sini.
Manakala Wandy pula didapati pada 23 September lalu di Kampung Sembulan Baru memiliki wang berjumlah RM1,600 yang diperoleh dengan curang daripada seorang wanita.
Mereka gagal memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana mereka memperoleh wang tersebut.
Kedua-dua tertuduh masing-masing didakwa di bawah Seksyen 22A (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah yang boleh dihukum di bawah Ordinan yang sama yang memperuntukkan denda RM100 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan seorang wanita didenda RM800 atau dua bulan penjara kerana bermain judi atas talian.
Nur Asyillah Aida, 27, melakukan kesalahan itu pada 24 Februari di tangga Klinik Pergigian Donggongon, Penampang.
Dia didakwa di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5, 000 atau hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan kerana disyaki menjadi agen mengurus jual aktiviti tambah nilai perjudian atas talian secara tidak sah atau tidak berlesen.
Antara barang yang dirampas adalah sebuah telefon bimbit jenama Vivo dan wang tunai RM88.