Semporna: Pulau Bohey Dulang yang terletak di dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna akan ditutup sementara kepada orang awam bermula hari ini sehingga 13 Jun 2025.
Taman-Taman Sabah (TTS) dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan sementara itu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada Operasi Mitigasi Ancaman Buaya.
Operasi itu akan dijalankan TTS dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Operasi ini bertujuan mengurangkan risiko ancaman buaya dan memastikan keselamatan pengunjung serta kakitangan taman,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.
Pihak TTS memaklumkan bahawa penutupan ini adalah langkah penting bagi menjamin kelancaran operasi serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang tempoh operasi berlangsung.
Orang awam dinasihatkan untuk merancang semula lawatan ke lokasi lain dalam tempoh tersebut dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK