Kota Kinabalu : Sebahagian Taman Tun Fuad Stephens di sini ditutup sementara sehingga 14 Julai depan bagi memberi ruang kepada penyiapan kerja-kerja akhir pembinaan projek Taman Botani Tun Fuad Stephens yang kini mengalami kelewatan.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, projek yang dijadualkan siap pada 21 Mei lalu telah diberikan Lanjutan Masa oleh Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bermula 22 Mei hingga 14 Julai depan.
“Punca kelewatan melibatkan isu teknikal iaitu perubahan reka bentuk dan material. Kemajuan fizikal di tapak pada masa ini telah mencapai 88 pertaus siap dan kerja yang masih berjalan hanya melibatkan beberapa kawasan seperti Pusat Botani, Pusat Konservasi dan ‘Botany Play Park,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.
KPKT dan DBKK mengambil perhatian keluhan ramai berkaitan pembukaan semula taman ini dan akan memastikan tempoh masa panjang yang diambil untuk menyiapkan projek ini adalah seiring dengan transformasi Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah.
Taman ini bakal dilengkapi dengan prasarana taman yang menarik dan lebih berkualiti tinggi seperti trek joging, komesial plaza, laluan ‘Lake Walk’ di sepanjang tasik dan jambatan konkrit atau ‘Nostalgia Bridge’ dengan laluan ‘floral walk’
Sementara itu, DBKK turut memaklumkan, keperluan rekreasi untuk kanak-kanak turut diberi perhatian melalui pembinaan ‘Botany Play Park’ iaitu taman teroka interaktif kanak-kanak berkonsepkan alam semula jadi selain Pusat Botani dan Pusat Konservasi Tanaman turut dibina.
Dari aspek landskap, sejumlah 30,000 tumbuhan daripada 500 spesis, termasuk pokok renek, pokok teduhan, palma, orkid telah ditanam di sekitar taman.
Kesemua tanaman ini boleh dilihat di zon tanaman seperti Taman Aroid & Orkid, Taman Nadir, Taman Buluh dan Taman Ethnobotany.
Menurut DBKK lagi, projek pembangunan ini akan menukar status Taman Tun Fuad Stephens daripada sebuah taman rekreasi biasa kepada taman botani yang bakal menjadi destinasi pelancongan baharu Sabah.
KPKT dan DBKK komited untuk memastikan pembangunan Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah siap sepenuhnya pada tahun ini dengan kualiti yang tinggi dan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung. – SABAH MEDIA / FOTO MEDIA SOSIAL