Kota Kinabalu: Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Tenom berjaya mengharumkan nama Sabah dipentas antarabangsa apabila muncul juara pada Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa ke-26 di Istanbul, Turkiye.
Pertandingan yang berlangsung selama empat hari berakhir 1 Jun lalu itu diwakili sekumpulan pelajar sekolah berkenaan dan mempersembahkan Tarian Magunatip.
Selain berjaya menewaskan 13 pasukan lain dari pelbagai negara, SMJK Chung Hwa Tenom turut menerima anugerah persembahan terbaik sekaligus mengukuhkan reputasi pasukan sebagai antara yang terbaik d peringkat global.
Tarian Magunatip yang sinonim dengan masyarakat Murut, memerlukan ketangkasan luar biasa dan koordinasi yang tinggi.
Penari perlu melompat di antara batang buluh yang diketuk secara berirama dan persembahan yang bukan sahaja memukau dari segi visual, tetapi juga mencerminkan kekuatan fizikal, disiplin, dan warisan budaya yang mendalam.
Jurulatih kebudayaan sekolah berkenaan, Siti Faridah Lawadin berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha gigih para pelajar serta sokongan padu daripada pihak sekolah dan komuniti.
“Mereka berjaya mengatasi 13 pasukan lain dari seluruh dunia dan muncul sebagai juara. Ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah dan Sabah, tetapi juga meletakkan seni tradisional kita di pentas dunia.
“Penyertaan ini menjadi platform penting dalam memartabatkan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa serta menyemai rasa bangga dalam kalangan generasi muda untuk terus mewarisi dan memelihara seni tradisi,” katanya.
Menurutnya, persembahan hebat itu turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton antarabangsa dan para delegasi kebudayaan yang hadir.
Tambahnya lagi, ia secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye melalui pendekatan budaya serta warisan, sekaligus menonjolkan Sabah sebagai antara negeri yang aktif mempromosikan budaya etniknya di peringkat global.
Pasukan dari SMJK Chung Hwa Tenom ini turut berjaya menamatkan dominasi juara terdahulu dari Rusia, yang memenangi edisi pertandingan pada tahun 2024. – SABAH MEDIA