HomeUtamaBlok baharu HQE diluluskan secara prinsip, isu parkir juga telah diberi perhatian...

Blok baharu HQE diluluskan secara prinsip, isu parkir juga telah diberi perhatian – Masidi

Read Time:1 Minute, 51 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan blok baharu Hospital Queen Elizabeth (HQE) telah diluluskan secara prinsip oleh Kerajaan Persekutuan, sebagai langkah awal menaik taraf kemudahan hospital utama di Sabah.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pembangunan blok baharu itu penting dalam memastikan HQE terus berfungsi secara optimum bagi menampung keperluan rawatan kesihatan yang semakin meningkat.

“Langkah pertama ialah pembinaan bangunan atau blok baharu, yang saya difahamkan telah diluluskan secara prinsip,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Galeri Sejarah Hospital Queen Elizabeth dan penyerahan rasmi papan tanda nama hospital tersebut, hari ini.

Keadaan kenderaan yang parkir ditepi-tepi jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. – Foto Sabah Media / Florieta Diet

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa isu tempat letak kenderaan yang kritikal di HQE dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas telah diberi perhatian oleh kerajaan.

“Masalah parkir ini adalah telah beberapa kali dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri, dan saya difahamkan bahawa Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Kesihatan, Datuk James Ratib membawa isu ini kepada pihak berkaitan di Kuala Lumpur untuk penyelesaian segera,” katanya.

Terdahulu di majlis itu, HQE melancarkan papan tanda baharu dan galeri sejarah hasil inisiatif yang diterajui oleh Commonwealth Association of Leadership Malaysia (CALM), dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pihak hospital.

Usaha ini bertujuan untuk memelihara sejarah salah sebuah hospital tertua dan paling penting di Sabah, serta mengiktiraf sumbangan para petugas kesihatan sejak penubuhannya.

Berucap semasa majlis penyerahan papan tanda dan galeri sejarah tersebut, Masidi berkata inisiatif ini adalah satu penghargaan terhadap peranan besar yang dimainkan oleh HQE dalam Pembangunan sistem kesihatan negeri.

“Hospital Queen Elizabeth telah memainkan peranan penting dalam kehidupan rakyat Sabah sejak sekian lama. Inisiatif ini memastikan sejarah dan pengorbanan mereka yang berkhidmat di sini tidak dilupakan,” katanya.

Papan tanda baharu ini berfungsi sebagai penanda sejarah yang menyorot asal-usul hospital sejak zaman penjajahan British, termasuk perasmiannya oleh Countess of Perth pada tahun 1957 serta lawatan Ratu Elizabeth II pada tahun 1972 yang membawa kepada penamaan rasmi hospital tersebut.

Galeri sejarah pula memaparkan foto, dokumen, dan artifak penting yang mencatat detik-detik bersejarah dalam perkembangan hospital. Ia dibuka kepada orang awam dan menjadi rujukan kepada pelajar, penyelidik serta masyarakat umum.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular