HomeUtamaSistem bekalan air SMK Dalit bawa manfaat kepada sekolah, komuniti

Sistem bekalan air SMK Dalit bawa manfaat kepada sekolah, komuniti

Read Time:1 Minute, 57 Second

Keningau : Pelaksanaan sistem bekalan air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit di sini bakal memberi manfaat kepada warga sekolah selain memberi impak positif terhadap penduduk setempat.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, pelaksanaan projek itu membuktikan bahawa suara rakyat tidak hanya didengari, malah diambil tindakan sewajarnya.

Katanya, masalah gangguan bekalan itu memberi kesan besar kepada kelancaran operasi sekolah termasuklah daripada kebersihan tandas, keselamatan makanan di kantin, sehinggalah kesihatan dan keselesaan pelajar serta para guru.

“Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga SMK Dalit, malah turut memberi impak kepada kampung-kampung sekitarnya. 

“Kita yakin usaha ini akan meningkatkan tahap kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat luar bandar secara menyeluruh.

“Ini adalah langkah konkrit untuk menjamin akses kepada air bersih hak asas yang sewajarnya dinikmati oleh semua, tidak kira di mana mereka berada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pemasangan sistem bekalan air SMK Dalit di sini pada Rabu.

Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, projek itu akan dilaksanakan secara berfasa. 

Katanya, Fasa pertama akan membekalkan air ke sekolah dan kampung berdekatan, manakala fasa kedua akan menyusul ke kampung-kampung lain yang turut memerlukan.

“Bagi kampung-kampung di Mukim Dalit serta Mukim Ansip termasuk Kampung Mempulut, Kampung Membulu, Kampung Kuala Puntih dan Kampung Tigasa, saya telah berusaha sejak beberapa tahun lalu, termasuk mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak Jabatan Air Keningau.

“Saya dimaklumkan bahawa permohonan dan kertas kerja bagi mendapatkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 telah dihantar. 

“Oleh itu, kita amat berharap agar kelulusan dapat disegerakan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ellron berkata, pihaknya akan terus komited memperjuangkan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya yang baik, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.

“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat akses kepada kehidupan yang lebih berkualiti.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap pelaksanaan projek ini. 

“Ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan pembangunan yang saksama dan menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada seluruh warga sekolah, para guru, pelajar dan komuniti setempat agar menghargai dan menjaga kemudahan ini dengan penuh tanggungjawab.

“Usaha yang besar ini hanya akan memberi manfaat berpanjangan jika ia dipelihara dan dimanfaatkan dengan baik,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular