HomePolitikSemua pihak perlu tunaikan hajat Bung - Armizan

Semua pihak perlu tunaikan hajat Bung – Armizan

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA BELUD: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) dan GRS wajar bertembung secara terbuka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang bagi menyelesaikan polemik mengenai kekuatan sebenar masing-masing.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bahawa kerjasama antara BN dan GRS hanya akan dipertimbangkan selepas PRN.

“Saya bersetuju dengan YB Datuk Seri Bung, biarkan GRS dan BN bertembung dalam PRN Sabah yang akan datang. Semua pihak perlu tunaikan hajat Bung ini, dan tidak ada sesiapa pun, walau di peringkat mana sekalipun, wajar membelakangkan pendirian beliau sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah yang berautonomi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Tempasuk Tahun 2024 dan Pelancaran GASAK 17 di Dewan AI Arsad, Kampung Kaguraan, di sini, hari ini.

Armizan berkata hanya pertembungan secara langsung dalam pilihan raya mampu menjawab persoalan siapa benar-benar kuat dan menoktahkan tuduhan saling menumpang kekuatan antara parti.

“Hanya dengan bertarung kekuatan sebenar akan menoktahkan isu siapa khianat dan siapa yang kuat. Tidak akan ada lagi tuduh-menuduh calon parti A menang bukan kerana kekuatan sendiri, tapi kerana parti B,” ujarnya.

Beliau menegaskan kenyataan itu adalah pandangan peribadi dan bukan mewakili GRS secara rasmi. Namun katanya, sentimen dalam kalangan akar umbi GRS jelas cenderung kepada pertembungan dengan BN.

Mengulas pendirian GRS, beliau berkata gabungan itu masih terbuka untuk meneruskan kerjasama sedia ada bersama Pakatan Harapan (PH), seperti yang dinyatakan sebelum ini oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

“GRS menghargai pendirian PH yang memilih kestabilan dan menyokong Datuk Seri Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri. Hasilnya, kerajaan hari ini berjalan dengan amat baik menerusi kombinasi kerjasama GRS dan PH,” katanya.

Menurut Armizan, kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang untuk pertandingan antara parti pada peringkat negeri.

“Pertama, tiada dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan yang menyatakan kerjasama wajib dipanjangkan ke peringkat negeri. PRN ini memilih Kerajaan Negeri, bukan Kerajaan Persekutuan.

“Kedua, apa yang penting adalah komitmen semua pihak untuk memastikan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal sehingga tamat penggal, seperti terkandung dalam MoU,” katanya.

Tambah beliau, pertembungan antara parti komponen Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya negeri bukan perkara baharu, dan telah berlaku sebelum ini di Sabah, Melaka dan Johor.

“Maka, bekerjasama atau tidak, perkara ini tidak seharusnya dijadikan polemik berpanjangan. Sebaiknya kita beri seluas-luas pilihan dan biar rakyat menilai serta membuat keputusan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular