HomeUtamaCikgu Stefanus bukti guru pendidikan khas mampu cipta impak luar biasa

Cikgu Stefanus bukti guru pendidikan khas mampu cipta impak luar biasa

Read Time:3 Minute, 23 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: “Murid berkeperluan khas juga mempunyai potensi besar untuk berjaya. Apa yang mereka perlukan hanyalah ruang, peluang dan kefahaman yang tulus daripada masyarakat sekeliling. Jangan hanya lihat ketidakupayaan mereka, tetapi lihat siapa mereka sebenarnya,” kata pemenang RISE Educator Award 2025, Stefanus Lucas.

Stefanus, 33, berasal dari Tamparuli dan kini bertugas sebagai guru muzik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kota Kinabalu, Tuaran. Beliau menyifatkan anugerah berprestij itu sebagai pengiktirafan kepada seluruh komuniti pendidikan khas.

“Saya rasa sangat teruja dan amat terharu. Ini bukan kejayaan saya seorang. Ini rezeki anak-anak murid pendidikan khas saya. Saya sangat bersyukur atas sokongan penuh daripada keluarga, rakan-rakan dan warga pendidik seluruh Malaysia, terutama keluarga besar SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu, Tuaran dan SK Pendidikan Khas Tuaran, Putatan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media, hari ini.

Stefanus Lucas (dua kanan) merakamkan gambar kenangan bersama tenaga pengajar lain dari kiri Dr Velerie Wheelervon Primus (SK Bingkor, Keningau), Hallsen Justin (SK Timbua, Ranau) dan Izzat Fahim Ibrahim dari SK Tagibang, Kota Marudu (kanan).

Anugerah RISE Educator dianjurkan oleh Taylor’s College bersama Teach For Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengiktiraf guru-guru luar biasa yang memberi inspirasi. Pemenang utama menerima RM50,000 untuk sekolah dan RM5,000 untuk guru.

Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung di Taylor College, Subang Jaya, Selangor, hari ini (14 Jun).

Stefanus berkata beliau dicalonkan oleh seorang guru muda, Cikgu Joshua dari SK Trusan, Lawas, yang terinspirasi dengan usahanya membawa muzik ke dunia pendidikan khas.

Katanya, anugerah itu membawa makna besar kerana membuktikan bahawa guru pendidikan khas juga mampu memberi impak dan diiktiraf atas usaha mereka.

“Ia merupakan satu penghargaan kepada komuniti sekolah pendidikan khas bahawa apabila diberi ruang dan peluang, mereka juga boleh melangkah jauh,” ujarnya.

Mengulas cabaran dalam bidang tersebut, Stefanus mengakui bahawa mengajar muzik menggunakan bahasa isyarat bukan sesuatu yang mudah, namun perlu ditangani dengan pendekatan kreatif.

“Saya masih dalam proses memperkukuh kemahiran bahasa isyarat. Jadi, ada kalanya penyampaian perlu lebih kreatif untuk memastikan murid benar-benar faham. Namun, saya sentiasa terbuka untuk belajar bersama mereka.

“Setiap murid mempunyai keperluan dan keunikan tersendiri. Saya banyak mencuba pelbagai kaedah secara berperingkat. Prinsip yang saya pegang ialah ‘Focus on ability, not disability.’ Apa pun caranya, saya sentiasa mencari pendekatan yang sesuai dengan kekuatan mereka, jelasnya.

Menurutnya anak-anak muridnya adalah sumber inspirasi utama beliau dalam melaksanakan tanggungjawab menjadi seorang pendidik yang berdedikasi.

“Mereka mengajar saya tentang ketabahan, kesabaran dan harapan. Disamping itu, rakan guru dari seluruh negara juga banyak memberi semangat dan inspirasi melalui perkongsian pengalaman mereka,” katanya.

Lebih menarik, Stefanus turut berkongsi detik manis sepanjang menjadi guru pendidikan khas di sekolah tersebut.

“Banyak kisah yang menyentuh hati sepanjang saya bergelar guru pendidikan khas. Salah satu yang paling saya kenang ialah apabila seorang murid yang dulunya sangat pendiam dan pemalu, kini tampil yakin di hadapan khalayak. Ada juga murid yang mengalami kelemahan motor halus dan kasar, tetapi kini menunjukkan peningkatan luar biasa dalam bermain alat muzik.

“Namun, antara detik paling bersejarah dan membanggakan bagi saya ialah apabila berjaya menubuhkan ensembel boy band pertama di sekolah pendidikan khas pendengaran, sesuatu yang ramai anggap sukar dicapai. Walaupun mereka tidak mendengar seperti kita, mereka mampu merasakan muzik melalui getaran dan gerak tubuh.

“Mereka bukan hanya bermain muzik, mereka membuktikan bahawa semangat dan usaha melebihi segala kekangan,” kongsinya penuh emosi.

Tambah Stefanus, kejayaan itu menjadi pemangkin untuknya merealisasikan impian membina bilik muzik mesra Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran pertama di Sabah.

“Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha merealisasikan impian membina sebuah bilik muzik yang mesra OKU pendengaran yang pertama di Sabah dan, mudah-mudahan, satu hari nanti boleh dijadikan rujukan di peringkat nasional.

“Saya mahu buktikan bahawa akses kepada pendidikan seni juga milik semua orang, termasuk mereka yang berkeperluan khas,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada rakan-rakan guru pendidikan khas di seluruh negara.

“Setiap guru ada kekuatan dan keistimewaan tersendiri. Usah membandingkan diri dengan orang lain. Lakukan yang terbaik dengan penuh keikhlasan. Mungkin usaha kita kelihatan kecil di mata orang lain, tetapi bagi murid kita, kitalah superhero mereka,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular