Oleh Wartawan Sabah Media
Tuaran: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor belum memberikan bayangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Katanya, buat masa ini beliau belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembubaran DUN Sabah walaupun spekulasi mengenai perkara itu yang dijangka pada hujung Julai atau awal Ogos depan.
“Belum lagi, kita mesyuarat dulu perhimpunan agung pada hujung bulan Julai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Sulaman, di sini pada Ahad.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan DUN dibubarkan pada akhir Julai depan.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan gabungan parti pemerintah pimpinannya itu bersedia menghadapi sesiapa saja pada PRN17 nanti.
Katanya, ia adalah pendirian GRS, namun sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya mesti diputuskan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) gabungan parti tempatan itu.
“GRS bersedia untuk menghadapi sesiapa saja dalam pilihan raya umum akan datang. Jadi itu pendirian kita tetapi apapun bentuk kerjasama mesti diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi GRS,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pendapat Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali yang bersetuju GRS bertembung dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN17.
“Saya sokong pendapat dia, tetapi apapun kita belum buat keputusan muktamad. Ini bukan daripada saya, daripada parti BN yang menyatakan mereka tidak berminat.
“Kita jangan paksa orang kalau tidak berminat,” katanya.
Semalam, Armizan berkata beliau secara peribadi bersetuju dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk membiarkan GRS dan BN bertembung pada pilihan raya itu nanti. – SABAH MEDIA