Oleh Sitti Nor Aziziah Talata
TAWAU: Usaha menyiapkan projek pembinaan Rumah Mesra SMJ 2.0 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan sedang giat dijalankan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal.
Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti pemohon-pemohon baharu untuk tahun 2024 dan sedang menunggu tindakan lanjut daripada pihak pengurusan termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan sekretariat SMJ.
“Kita harap semua pihak dapat mempercepatkan proses ini, lebih-lebih lagi dengan pilihan raya negeri yang semakin hampir.
“Penting untuk ada pengurusan yang cekap supaya permohonan yang mendesak, terutamanya melibatkan kawasan pelebaran Jalan Utara, dapat diberikan perhatian segera oleh kerajaan,” katanya.
Rina berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pertandingan Nyanyian Rentas Budaya 2.0 anjuran Tawau Musician Association di Dewan Sekolah Hing Hwa, malam tadi.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun sejak menyertai kerajaan, hanya sekitar RM9 juta daripada peruntukan pembangunan telah dibelanjakan di DUN Kukusan, tertumpu kepada pembinaan infrastruktur asas.
“Walaupun saya memulakan penggal sebagai pembangkang, namun sejak tahun ketiga saya berada dalam kerajaan. Peruntukan digunakan sebaik mungkin antaranya untuk pembinaan dewan terbuka, jalan konkrit di kampung-kampung, pemasangan lampu solar di kawasan gelap serta pembaikan sistem saliran,” jelas beliau.
Katanya lagi, kesan pembangunan dapat dilihat oleh masyarakat setempat yang kini menikmati kemudahan asas yang lebih baik berbanding sebelumnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai program tersebut, beliau menyifatkan ia sebagai inisiatif unik yang memperlihatkan kepelbagaian budaya melalui bahasa muzik yang bersifat sejagat.
“Pertandingan ini menyatukan pelbagai kaum, orang Melayu menyanyikan lagu Cina, kaum Tionghwa menyanyikan lagu Melayu. Ia satu simbol pertembungan budaya yang harmoni. Kita harus raikan perbezaan ini sebagai kekuatan,” ujarnya.
Menurut beliau, Tawau kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya, justeru penganjuran program sebegini membuka ruang kepada bakat baharu bukan sahaja di daerah Tawau, tetapi di seluruh Sabah.