Tuaran : Pemimpin dan ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diingatkan supaya mengambil iktibar keadaan politik semasa.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini termasuklah menangkis pembohongan yang disebarkan pembangkang melalui media sosial.
“Kita mesti pandai menilai apa fitnah dan pembohongan serta apa yang dibuat kerajaan. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan yang dibawa pembangkang.
“Biarlah pembangkang melakukan fitnah, tapi kita ahli Gagasan Rakyat mesti berdiri sama-sama rakan kita dalam GRS Plus, khususnya di Sulaman ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di Dewan Seri Sulaman Tuaran di sini pada Ahad.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut menjelaskan mengenai kedudukan GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 nanti, khususnya berkaitan rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu.
“Banyak tanya saya macam mana keadaan, siapa kawan kita, di mana kita bertanding. Walaupun belum ada lagi keputusan muktamad kerana saya akan bincang dengan komponen GRS, tapi kita sekarang lebih selesa seperti dalam kerajaan sekarang iaitu GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus.
“Inilah sentimen rakyat di bawah sekarang, rakyat kita mahu ini sekarang. Banyak parti lain cakap takbur, cakap besar di luar, tapi saya bawa ini dalam GRS. Saya tidak buat keputusan berseorangan, ini prinsip saya. Biarlah ia dibuat oleh AMT GRS ke mana arah kita pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang disandangnya sejak 1990, beliau yakin kerusi itu dapat terus dipertahankan di bawah GRS pada PRN17.
Beliau juga mahu tiga kerusi lain dalam Parlimen Tuaran, iaitu Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu juga kekal dipertahankan di bawah GRS.
Ketika ditemui, Hajiji berkata Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada kali ini penting kerana ia diadakan menjelang PRN17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Jadi, ingatan dan nasihat saya kepada ahli-ahli Gagasan Rakyat dan GRS supaya mereka bersatu hati. Rapatkan barisan, kuatkan jentera parti untuk kita menghadapi pilihan raya yang tidak berapa lama lagi,” katanya. – SABAH MEDIA