TAWAU: Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan sejak 2022 terus menunjukkan hasil positif dalam usaha Kerajaan Negeri memperkasa kesejahteraan rakyat, khususnya golongan memerlukan di kawasan luar bandar.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sejak diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, program itu telah menyaksikan pembinaan sebanyak 57 buah rumah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas.
“Alhamdulillah, sejak program ini dimulakan pada 2022, kita telah menerima peruntukan 20 buah rumah setiap tahun. Semua rumah tahun 2022 dan 2023 telah siap sepenuhnya, manakala bagi tahun 2024, hampir 90 peratus telah disiapkan dan bakinya kini di peringkat akhir kerja-kerja akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mini Dewan Masyarakat Kampung Kinabutan Bukit serta penyerahan tanda nama lorong-lorong kampung di sini, hari ini.
Menurut beliau, terdapat kelewatan kecil yang berlaku berpunca daripada isu teknikal seperti pengesahan status tanah dan bekalan bahan binaan, namun yakin semua rumah akan siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan dua lagi.
Dalam pada itu, Nizam turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus memacu pembangunan menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Jika rakyat terus memberikan kepercayaan kepada, kita akan teruskan dengan SMJ 2.0. Banyak yang telah kita capai. Jangan mudah terpedaya dengan pihak yang cuba menggugat keyakinan terhadap kerajaan hari ini. Sabah adalah rumah kita, dan kita mesti pertahankan pembangunan ini bersama,” katanya.
Beliau turut menyentuh pencapaian GRS sepanjang lima tahun mentadbir, termasuk kejayaan negeri menjual minyak sendiri sebanyak sembilan kali dengan kutipan hasil mencecah RM1.7 billion.
“Hasil ini membolehkan kita bantu rakyat dengan membina rumah SMJ, beri bantuan RM300 kepada rakyat miskin tegar, usahawan kecil, kaum ibu serta pelbagai bantuan kebajikan lain,” katanya.
Tambah beliau lagi, pelbagai projek infrastruktur utama sedang dilaksanakan, termasuk penyelesaian masalah air secara berfasa serta pembinaan Empangan Air Tawau dan projek Lebuh Raya Pan Borneo.