Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu mempertahankan kedudukannya di Zon 12, khususnya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tawau dan Kalabakan, kata Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurut Nizam, calon-calon bagi ketujuh-tujuh kerusi DUN di zon tersebut telah dikemukakan kepada pucuk pimpinan untuk pertimbangan sewajarnya.
“Kita mencalonkan kesemua tujuh DUN di Parlimen Tawau dan Kalabakan. Namun, kita akan bertanding di kerusi-kerusi penyandang iaitu Apas, Balung dan Sebatik. Tidak akan ada pertembungan dengan komponen lain dalam GRS. Kita solid di bawah GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mini Dewan Masyarakat Kampung Kinabutan Bukit dan menyempurnakan penyerahan tanda nama lorong di kampung tersebut, hari ini.
Tambah beliau, sebagai penyelaras Zon 12 PGRS, beliau akur terhadap sebarang keputusan muktamad yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi GRS.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan. Apa juga keputusan, kita akan patuh dan hormati. Saya hanya boleh bercakap dalam skop saya sebagai penyelaras zon,” katanya.
Zon 12 merangkumi kawasan strategik yang menjadi tumpuan dalam landskap politik Sabah menjelang pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.