HomeUtamaSabah komited perkasa budaya etnik pelbagai kaum

Sabah komited perkasa budaya etnik pelbagai kaum

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu: Usaha menyeluruh menerusi pelbagai inisiatif terus diambil bagi memelihara dan memperkasa warisan budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji  Noor berkata, ia penting bagi memastikan khazanah budaya terus hidup, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Dalam dunia yang sentiasa berubah, adalah penting untuk kita memastikan budaya tempatan agar kekal relevan dan difahami oleh generasi masa kini dan akan datang. Generasi muda bukan hanya pewaris, tetapi penjaga warisan yang akan mencorakkan masa depan negeri ini.

“Pemeliharaan warisan budaya penting untuk memastikan kesinambungan identiti, nilai, dan tradisi sesebuah masyarakat. Oleh itu, saya berharap Persatuan etnik di negeri ini akan terus membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar tidak pupus begitu sahaja.

“Dalam masa sama, budaya etnik ini juga akan membantu menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini. Sudah pasti ini akan membantu usaha kerajaan yang menyasarkan 3.5 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Etnik Sabah sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Majlis itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan turut dihadiri isterinya, Toh Puan Faridah Tussin.

Hajiji berkata Hari Etnik bukan saja platform untuk memperkenalkan khazanah warisan etnik yang ada di negeri ini tetapi ia juga medan penting dalam memperkukuhkan perpaduan, persefahaman dan toleransi antara kaum serta memupuk rasa bangga terhadap warisan masing-masing.

“Semangatt muhibah dalam kepelbagaian adalah tunjang utama kekuatan rakyat di negeri ini. Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus menyuburkan nilai toleransi, saling menghormati dan hidup bersama secara harmoni, tidak kira latar belakang etnik atau agama.

“Inilah roh sebenar Hari Etnik Sabah. Semoga sambutan ini menjadi lambang kesatuan dalam kepelbagaian dan seterusnya memperkukuh semangat kekitaan di bumi Sabah yang tercinta ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular