Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Halal Q-SME yang dibangunkan khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini, menjadikannya hab halal pertama seumpamanya di Sabah.
Projek yang dibangunkan Qhazanah Sabah Berhad (QSB) terletak di kawasan HALMAS-Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan kini mencapai kemajuan sebanyak 77 peratus setakat akhir Mei lalu.
Pengerusi QSB, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, taman perindustrian itu terdiri daripada 17 unit gudang sedia guna yang dibina bagi menempatkan pelbagai jenis perniagaan berasaskan produk halal.
“Selaras dengan misi kami untuk memperkasa usahawan tempatan, taman ini dilengkapi kemudahan termasuk pusat sehenti halal bagi memudahkan urusan pensijilan, pengeluaran, pemasaran dan eksport produk halal,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dan Pelancaran Q-SME Halal Industrial Park, di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata taman itu berpotensi membuka peluang pekerjaan baharu bergantung kepada jenis perniagaan yang akan beroperasi.
Menurutnya, sambutan daripada usahawan amat menggalakkan dan senarai syarikat yang berminat kini sedang disaring sebelum diumumkan secara rasmi.
“Kita belum iklankan secara meluas, namun sudah ramai yang menunjukkan minat. Ada syarikat yang sudah menempah, termasuk yang terlibat dalam pemprosesan makanan tempatan dan kosmetik halal,” katanya.
Katanya, keseluruhan projek bernilai RM62 juta itu dibiayai melalui pinjaman komersial oleh QSB tanpa pembiayaan langsung daripada kerajaan negeri.
“QSB mengambil pendekatan berdikari dalam melaksanakan projek ini. Premis yang siap nanti akan disewakan dan hasilnya digunakan untuk membayar semula pinjaman serta menjana pendapatan jangka panjang syarikat,” katanya.
Sementara itu, dalam majlis yang sama, QSB turut menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) Damai Land bersama Bina Indah Development Sdn Bhd.
Menurut Dr. Yusof, JDA ini dimeterai untuk kerjasama strategik bagi pembangunan The Hill di Damai, sebuah projek pembangunan bercampur yang terletak bersebelahan Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu.
Projek ini dirancang untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dengan mewujudkan zon komersial yang berdaya saing, menaik taraf infrastruktur, serta menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Antara komponen utama pembangunan ini ialah cadangan penubuhan Pusat Jantung Negara Sabah, yang bakal menjadi pusat kardiologi kedua di Malaysia selepas Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
“Kemudahan canggih ini dijangka memberi akses rawatan pakar jantung yang lebih dekat dan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap rawatan di luar negeri, sekali gus memperkukuh sistem kesihatan Sabah.
“Pembangunan ini turut merangkumi peningkatan kemudahan infrastruktur termasuk akses jalan raya yang lebih baik dan kemudahan tempat letak kereta bertingkat bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang telah lama membelenggu kawasan tersebut.
“Pusat ini bukan sahaja penting dalam meningkatkan keupayaan rawatan kardiologi, malah membuktikan komitmen kita untuk membina kemudahan kesihatan bertaraf dunia di Sabah,” kata Dr. Yusof.
Pada majlis itu, QSB diwakili Dr. Yusof dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rudy Jaglul, manakala Bina Indah Development Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Kenyo Chu dan Pengarah Eksekutif, Allison Tey.
Menandatangani JDA itu disaksikan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe serta beberapa tetamu kehormat termasuk Pengerusi Kojasa Holdings Berhad, Datuk Ben Chong Chen Bin dan Ahli Lembaga Pengarah QSB, Datuk Dr. Johnson Tee.