Kuala Lumpur : Pustakawan di seluruh rantau ini digesa supaya melangkaui peranan tradisional mereka dengan menyahut cabaran untuk memupuk budaya membaca yang lebih dinamik dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda masa kini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) menegaskan agar perpustakaan tidak hanya menjadi tempat simpanan buku atau ruang berestetika semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual yang aktif.
“Peranan pustakawan bukan sekadar mengumpul buku dan mempamerkannya di dalam almari kaca.
“Sebaliknya, ia adalah untuk menjadikan perpustakaan sebagai sumber penting dalam meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada para pembaca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan acara berkenaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa pustakawan juga perlu menjadi pembimbing yang berkesan dalam memperkenalkan kandungan menarik kepada pembaca selain memanfaatkan teknologi dan peralatan digital supaya mempu menjangkau lebih luas dalam khalayak ramai.