KUALA LUMPUR: Peguam kepada seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sabah mendedahkan bahawa anak guamnya akan didakwa di mahkamah pada 30 Jun ini, satu tindakan yang disifatkannya sebagai “mengejutkan dan mengecewakan”.
Menurut Mahajoth Singh, anak guamnya yang dikenali sebagai Albert, 36, telah memberikan pelbagai maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan sogokan bagi mendapatkan lesen carigali mineral, termasuk video, dokumen dan mesej WhatsApp yang didakwa mengaitkan beberapa Adun.
“Tanpa pendedahan anak guam saya, skandal ini tidak akan disiasat. Beliau bertindak demi kepentingan awam, namun kini didakwa atas kesalahan jenayah,” kata Mahajoth dalam satu kenyataan.
Albert ditahan semalam ketika hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000. Peguamnya turut mendakwa terdapat “arahan dari atas” untuk mendakwanya, dan mempersoalkan kegagalan SPRM memberi perlindungan sebagai pemberi maklumat.
Bagaimanapun, pada April lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa Albert bukan pemberi maklumat rasmi kerana tidak pernah membuat aduan secara formal meskipun telah digesa beberapa kali.
“Beliau bukan whistleblower. Kalau ikut rekod, dia tidak pernah datang ke pejabat untuk beri aduan,” kata Azam dalam satu sidang media sempena Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Sabah.
Azam turut mengesahkan pagi ini bahawa dua Adun dan seorang orang awam akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat berkaitan siasatan SPRM di bawah operasi ‘Op Adun’. Ketiga-tiga individu kini melalui proses akhir termasuk rakaman percakapan di bawah ‘caution statement’.
Mahajoth turut mendedahkan beliau dimaklumkan bahawa dirinya akan dijadikan saksi dalam kes tersebut walaupun hanya bertindak sebagai peguam, sebelum dimaklumkan semula bahawa beliau tidak akan dipanggil sebagai saksi.