Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang bekas anggota Rela terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan di sini menggantikan hukuman itu dengan penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh rakannya semasa sesi minum minuman keras di Kudat beberapa tahun lalu.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Dato’ Azman Abdullah, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara mengekalkan sabitan bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap perayu, Donny @ Mohd Nazmie Musanna, 45.
Mahkamah bagaimanapun memutuskan untuk menggantikan hukuman mati selepas mengambil kira hukuman alternatif di bawah Akta 846, iaitu Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, iaitu pada 27 Mac 2019.
Pada 7 Disember 2022, Mahkamah Tinggi di sini telah menjatuhkan hukuman mati terhadap Donny selepas didapati bersalah membunuh Ampukir Aladau, 64, di kawasan Tamu Tomborungus, Kudat, pada 26 Mac 2019.
Dia disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Perayu diwakili oleh peguam Amli Nohin, manakala Timbalan Pendakwa Raya Shamala Jaganathan bertindak bagi pihak responden.