Kinabatangan : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) komited untuk bekerjasama dengan para pengusaha resort dan pusat pelancongan di daerah ini untuk terus memperkukuh jaminan keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk pelancong di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Komitmen itu dizahirkan Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin yang mewakili Komander ESSCOM pada program perjumpaan dan sesi dialog bersama pengusaha resort dan pusat pelancongan serta agensi berkaitan di sini baru-baru ini.

Program itu bertujuan bagi menerangkan situasi keselamatan di ESS Zone yang telah semakin mengukuh kepada pemain industri pelancongan bagi memastikan keyakinan pelancong terutamanya yang berhasrat mengunjungi daerah ini berada pada tahap yang optimum.
Pengukuhan keselamatan ini adalah hasil daripada inisiatif-inisiatif keselamatan dan kesejahteraan berterusan yang dikoordinasi oleh ESSCOM dengan kerjasama beberapa agensi keselamatan termasuk jabatan dan agensi persekutuan dan negeri.
Seramai 40 pengusaha resort telah hadir ke program itu dan diberi taklimat mengenai keadaan semasa keselamatan di ESS Zone.
Melalui perjumpaan ini, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai maklumat inisiatif keselamatan yang dilaksanakan agensi ini antaranya termasuklah pemerkasaan koordinasi rondaan dan operasi keselamatan, perolehan aset strategik dan taktikal, pembinaan pos-pos baharu dan mekanisme penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan ESS Zone.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan pencapaian paling signifikan agensi ini iaitu mengekalkan rekod sifar kes penculikan untuk wang tebusan di perairan ini sejak 15 Januari 2020.
Di samping itu, pengukuhan kesejahteraan hubungan awam-pasukan keselamatan melalui program libat urus dan peningkatan sosioekonomi masyarakat di bawah ESSCOM telah berhasil mengukuhkan pembangunan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan penciptaan peluang di Sabah Timur seiring agenda nasional di bawah aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Dalam pada itu, penerangan berkaitan perkembangan aktiviti pelancongan dan tindakan penguatkuasaan telah disampaikan masing-masing oleh pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Sabah.
Sehubungan itu, masyarakat di sini boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM