Kota Kinabalu : Persidangan Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) di Sabah berupaya menjadi platform terbaik bagi membincangkan pelbagai isu termasuk berkaitan keselamatan dan memperkasa Askar Wataniah sebagai antara benteng pertahanan negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya turut menyokong kegiatan Askar Wataniah di negeri ini.
Beliau yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) negeri Sabah turut mengalu-alukan Sidang Komander Askar Wataniah ini diadakan di Sabah.
“Saya dimaklumkan antara tujuan persidangan atau mesyuarat ini adalah untuk membincangkan hal-hal pemerkasaan Askar Wataniah antaranya dari segi pentadbiran dan aspek logistik.
“Sebagai negeri berhampiran dengan beberapa negara jiran, sudah pasti aspek keselamatan amat kita titikberatkan. Ini bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negeri ini termasuk memberi jaminan kepada keselamatan rakyat di Sabah.
“Malah, dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri menerusi pelan pembangunan kami iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kita amat perlu mengekalkan keamanan dan keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Malam Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 37/2025 anjuran kerajaan negeri di sini, pada Rabu.
Hajiji berkata, pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya bukan saja memberi penekanan dalam tiga sektor utama ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan tetapi juga berkaitan modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Dalam aspek kesejahteraan rakyat, pelbagai langkah proaktif secara berterusan dilaksanakan antaranya menyediakan rumah untuk golongan miskin di luar bandar, menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai bantuan pendidikan bagi membantu anak- anak Sabah meneruskan persekolahan mereka. Sebab itu, saya amat memberi penekanan dalam aspek keselamatan agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dibawa ke negeri ini,” katanya.
Beliau turut berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan untuk melaksanakan persidangan ini di Sabah
“Majlis ini bukan saja untuk meraikan Ahli Sidang Komander Askar Wataniah, tetapi ia juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan di antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Angkatan Tentera Malaysia amnya dan Askar Wataniah khasnya,” katanya.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin dan Duli Yang Teramat Mulia Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Raja Muda Perlis selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dan isteri, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.