Oleh Florieta Diet
PENAMPANG: Majlis Perbandaran Penampang (MPP) telah diiktiraf sebagai bangunan kerajaan pertama di Sabah yang menerima Sijil Pengiktirafan Green Building, satu pengiktirafan penting dalam usaha pelaksanaan amalan pembangunan lestari.
Pengiktirafan tersebut diumumkan pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Green Building bagi Bangunan Ibu Pejabat MPP dan Pelancaran Command Centre serta Aplikasi e-ADU MPP, yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, di perkarangan bangunan itu pagi ini.
Dr Joachim berkata, pencapaian ini merupakan bukti jelas komitmen MPP dalam menyahut cabaran global berkaitan perubahan iklim, pengurusan tenaga serta pengurangan pelepasan karbon.
“Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Pengiktirafan Green Building ini mencerminkan komitmen MPP untuk mengurus bangunan secara mampan, melalui langkah-langkah seperti pemasangan sistem solar, penggunaan peralatan cekap tenaga serta penggunaan lampu LED,” katanya dalam ucapan perasmiannya hari ini.
Dr Joachim menambah bahawa kejayaan ini adalah selari dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sabah sebagai negeri yang pintar, mampan dan responsif terhadap isu-isu alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.
“Pengiktirafan Green Building diberikan kepada bangunan yang memenuhi piawaian kelestarian, termasuk kecekapan tenaga, pengurusan air, penggunaan bahan binaan mesra alam serta reka bentuk yang menyokong kitar semula dan pengudaraan semula jadi.
“Kejayaan MPP ini juga bertepatan dengan Teras Ketiga dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menumpukan kepada Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam, termasuk pembangunan mampan dan teknologi hijau sebagai antara tumpuan utama,” katanya.
Selain itu, pelancaran Aplikasi e-Adu dan Command Centre MPP turut menandakan permulaan era baharu dalam tadbir urus digital dan pengurusan berasaskan data di peringkat kerajaan tempatan.
Command Centre ini dilengkapi dengan sistem pemantauan CCTV yang bukan sahaja digunakan untuk tujuan keselamatan dan pemantauan trafik, malah membantu dalam pengurusan bencana seperti banjir dan kejadian luar jangka. Manakala Aplikasi e-Adu pula membolehkan rakyat menyalurkan aduan secara lebih mudah, telus dan pantas, selaras dengan aspirasi membina bandar yang responsif dan berpusatkan rakyat.
“Pendekatan baharu ini menggambarkan bagaimana MPP bergerak ke arah sebuah bandar pintar atau ‘Smart City’, yang berpaksikan teknologi dan data untuk meningkatkan kecekapan serta kualiti hidup rakyat,” jelas Dr Joachim.
Dr Joachim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan projek ini, khususnya mantan Presiden MPP, Francis Chong, serta Benny Ng dan SHAREDA yang banyak menyumbang dari segi kepakaran teknikal dan profesional.
Sementara itu, Timbalan Presiden MPP, Noemi Dyena Johntren, dalam ucapannya berkata, MPP telah memasang sepuluh unit CCTV di sekitar bandar Donggongon dan satu unit tambahan di Kampung Penampang Proper bagi tujuan pemantauan banjir dan keselamatan awam.
“Bagi rancangan dalam masa terdekat ini, pemasangan CCTV akan kita laksanakan di kawasan hotspot seperti Taman Suria, Pekan Koidupan dan Beverly Hills.
“Sistem ini amat penting bagi meningkatkan keadaan kebersihan, keselamatan dan kecekapan sebagai tindak balas pihak MPP terhadap aduan masyarakat di kawasan Penampang,” katanya.
Tambahnya lagi, bangunan MPP telah diiktiraf oleh GreenRE Sdn. Bhd. Penilaian ini merangkumi pelbagai aspek seperti kecekapan tenaga dan air, penggunaan tenaga boleh diperbaharui iaitu solar, penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga dan amalan perusahaan bangunan yang lestari.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Desa (KPD), Jannie Lasimbang; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili; Timbalan Presiden MPP, Noemi Dyena Johntren; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kerajaan Digital Sabah, Disney Lai; Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Penampang (mewakili Ahli Parlimen Penampang), Carl Masoom; Presiden SHAREDA, Datuk Johnny Wong; Pengarah Eksekutif GreenRE Sdn. Bhd., Ir. Ashwin Thurairaja dan Ketua Jabatan Pentadbiran Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), Salina Salimi.