Kuala Lumpur : Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu bagi tempoh dua tahun bermula 23 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pelantikan secara kontrak selepas bersara sehingga 22 Jun 2027 itu adalah termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pelantikan itu telah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Menurutnya, Mohd Khalid merupakan seorang pegawai yang sangat berpengalaman dalam bidang risikan dan keselamatan sejak mula berkhidmat dalam pasukan polis pada 5 April 1987 apabila ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu setelah tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun yang sama.
Anak kelahiran Manong, Perak itu berkelulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Selain itu, beliau mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen dan luar negara selain pernah menjawat jawatan key-post sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Security Liaison Officer (SLO) London, United Kingdom.
“Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Mohd Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mohd Khalid telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025.
Perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas diteruskan selepas bersara dan telah dilantik secara kontrak mulai 8 April 2025 sehingga kini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, bagi pihak Kerajaan MADANI, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Razarudin Husain atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023.
Katanya, Kerajaan MADANI turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di atas pelantikan ini. – SABAH MEDIA