Oleh Sitti Nor Azizah Talata
SEMPORNA: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), komponen utama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), terus memperkukuhkan kedudukannya apabila menerima kemasukan ramai bekas ahli daripada pelbagai parti termasuk UMNO dan Warisan.
Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Dr Ruddy Awah berkata, penyertaan mereka membuktikan keyakinan semakin tinggi terhadap hala tuju dan kepimpinan GRS yang disifatkan sebagai segar dan berwibawa.
“Penyertaan mereka ke dalam GRS merupakan isyarat jelas bahawa rakyat mahu sesuatu yang baharu dalam politik negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Bahagian Gagasan Rakyat Senallang, di sini, semalam.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Senallang, Mohd Rashdey Sabardin dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulabayan, Datuk Abd Hajan Gurimbang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas turut mengakui bahawa usaha untuk menawan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukan mudah, namun beliau percaya GRS mampu mencipta kejutan dengan adanya semangat dan kerja keras ahli parti terutama jentera di semua peringkat.
Beliau yakin GRS mampu bersaing meskipun bakal berdepan pelbagai cabaran kerana baginya dalam politik, apa sahaja boleh berlaku kerana kuasa sebenar terletak di tangan rakyat dan ketentuan Allah SWT.
Mengenai persidangan itu, Dr Ruddy menyifatkannya sebagai kejayaan kerana berjaya menghimpunkan pemimpin dan ahli parti dari pelbagai lapisan, termasuk rakan komponen GRS seperti USNO dan STAR yang turut memainkan peranan penting dalam kelancaran program tersebut.
“Semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh akar umbi di Senallang memberi gambaran jelas bahawa rakyat sudah bersedia untuk melakukan perubahan besar.
“Jika kita lihat jentera Gagasan Rakyat Senallang dan sokongan akar umbi, sudah ada satu gelombang kebangkitan rakyat ditunjukkan oleh mereka yang mahu menyaksikan kepimpinan baharu di kawasan ini,” ujarnya.
Dengan PRN Sabah semakin hampir, GRS dilihat sudah bersiap siaga untuk memberi saingan sengit kepada Warisan dan parti-parti lain, khususnya di kawasan strategik seperti Senallang.