Oleh Normimie Diun
PENAMPANG: Golongan muda perlu diberi ruang untuk menyumbang kepada kepimpinan negeri Sabah demi membawa perubahan lebih besar dan memenuhi aspirasi rakyat, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Menurut beliau, barisan kepimpinan baharu yang merangkumi anak muda berwibawa dan berwawasan sangat penting bagi membawa negeri ini ke tahap yang lebih maju.
“Ramai pemimpin kita hari ini sudah terlalu lama berada di tampuk kuasa. Ada antara mereka yang mungkin sudah hilang kepekaan terhadap kehendak rakyat. Rakyat pula semakin penat dengan janji yang sama berulang kali.
“Sebab itu, kita perlu beri peluang kepada muka baharu untuk tampil menyumbang tenaga, idea dan pemikiran baharu. Kita mahu Sabah dikenali sebagai negeri yang progresif, bukan terus ketinggalan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Tahunan Bahagian N.26 Moyog 2025 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di ITCC Penampang, hari ini.
Khairul turut memuji sikap terbuka pemimpin veteran, Datuk John Ambrose, yang menyerahkan kepimpinan bahagian kepada tokoh muda, Datuk Ceasar Mandela Malakun selaku Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat N.26 Moyog.
“Ini satu contoh teladan pemimpin berjiwa besar yang memahami pentingnya memberi laluan kepada generasi baharu,” katanya.
Mengulas kedudukan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam politik negeri, Khairul berkata, parti perlu bersikap realistik terhadap penerimaan rakyat.
“Jika rakyat tidak lagi menaruh keyakinan terhadap GRS atau PGRS, maka tiada keperluan untuk kita teruskan. Rakyat Sabah terkenal dengan keterbukaan mereka dalam memberi peluang kepada pelbagai parti politik.
“Namun secara peribadi, saya percaya GRS adalah pilihan terbaik kerana dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor yang terbukti berjiwa rakyat, terbuka kepada pandangan serta sudah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau juga menyeru agar rakyat Sabah memberikan mandat kepada barisan kepimpinan baharu untuk sekurang-kurangnya satu penggal.
“Harapan saya pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 akan datang, kita mohon pertimbangan YAB Ketua Menteri agar beri peluang kepada muka-muka baharu khususnya golongan muda yang mampu memacu Sabah ke tahap membanggakan.
“Kita mahu apabila orang luar menyebut tentang Sabah, mereka melihat kita sebagai negeri yang berani memperjuangkan perkara betul,” katanya.
Jelasnya lagi, sekiranya kepimpinan baharu gagal dalam tempoh satu penggal, rakyat berhak membuat perubahan.
“jika kami gagal menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh satu penggal, “kick us out”,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Khairul turut menyeru semua pihak menghentikan perbalahan sesama sendiri dan fokus kepada masa depan negeri.
“Jika ada individu menjadikan jawatan Ketua Menteri sebagai matlamat peribadi semata-mata, maka tiada apa yang boleh kita bantu. Semoga Tuhan memberkati mereka,” katanya.