HomeUtamaGRS mahu hubungan negeri-persekutuan bersifat kerajaan, bukan intra parti

GRS mahu hubungan negeri-persekutuan bersifat kerajaan, bukan intra parti

Read Time:2 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meletakkan supaya parti lokal perlu menjadi teras kepada Kerajaan Negeri dan bukanlah menolak kerjasama dengan parti nasional.

Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata, agenda itu penting bagi memastikan bentuk hubungan Persekutuan dan negeri adalah bersifat antara kerajaan (inter-governmental) dan bukannya bersifat intra-parti (intra-party).

“Ini kerana kita mahukan sebarang agenda dan isu yang melibatkan kepentingan negeri dirunding dan diselesaikan melalui forum di antara dua peringkat kerajaan, iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Sekiranya parti yang sama iaitu parti nasional menjadi teras kepada kedua-dua peringkat kerajaan, kecenderungan berlaku isu yang melibatkan kepentingan negeri akan dirundingkan dalam ruang lingkup dalaman parti terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau Datuk Mohamed Razali Razi.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, agenda dan kepentingan negeri yang diputuskan secara intra-parti,sudah pastinya risiko yang berlaku adalah kepentingan parti akan diutamakan membelakangi kepentingan negeri.

Menurutnya, lebih dikhuatiri ada indoktrinasi sesetengah parti politik nasional yang meletakkan kesetiaan kepada parti mengatasi segala-galanya, tanpa kompromi.

“Ada tikanya isu negeri akan disenyapkan kerana pendirian parti nasional adalah mengutamakan kepentingan nasional. Contohnya, inilah yang telah berlaku dalam isu Perjanjian Malaysia (MA63) sejak berpuluh tahun.

“Kita melihat ada perubahan komitmen signifikan persekutuan berhubung MA63 di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini. Namun, kita tidak boleh bergantung kepada cara dan sikap kepimpinan individu, tetapi perlunya struktur yang kondusif,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, komitmen persekutuan terhadap MA63 ini boleh berubah dengan peralihan pimpinan Kerajaan Persekutuan.

“Namun, sekiranya kita ada struktur yang menjamin bahawa hubungan persekutuan dan negeri akan bersifat inter-governmental, dan bukannya intra-parti, kepentingan negeri akan sentiasa mendapat keutamaan.

“Kita tidak menolak kepentingan nasional perlu dipelihara, tetapi biarlah perjuangan itu diterajui oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri perlu berfungsi dengan meletakkan kepentingan negeri pada unjuran paling teratas.

“Inilah falsafah di sebalik teras pertama perjuangan GRS iaitu Sabah First yang bermaksud agenda negeri diutamakan,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, GRS ingin menjadi teras kepada kerajaan di peringkat negeri dan pilihan raya yang bakal dihadapi adalah untuk memilih Kerajaan Negeri.

Kita akan sokong parti nasional menjadi teras kepada Kerajaan Persekutuan, dan biarlah parti lokal menjadi teras kepada Kerajaan Negeri.

“Kita tidak menolak dan mengalu-alukan kerjasama dengan parti nasional dalam pilihan raya negeri selagi mana mereka menerima bahawa parti lokal perlu diberi ruang menjadi teras Kerajaan Negeri dengan bertanding lebih banyak kerusi.

“Kamu (parti nasional) pimpinlah Kerajaan Persekutuan dan kita akan sokong dan beri kerjasama, dan biar parti lokal memimpin Kerajaan Negeri. Model inilah yang sedia memaknai bentuk Kerjasama dalam Kerajaan GRS + PH Plus pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, GRS akan terus bekerjasama dengan parti nasional kerana akhirnya adalah komponen yang akan bersama membentuk Kerajaan Persekutuan dan memilih seorang Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin parti nasional. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular