Sook : Sebanyak 48 pasar tamu di seluruh negeri Sabah yang terlibat dalam projek naik taraf dan pembinaan baharu kini siap sepenuhnya.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan projek itu melibatkan peruntukan sebanyak RM15.6 juta daripada Kerajaan Pusat melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Sebelum ini para peniaga di sini hanya gunakan meja kayu dan memasang kanvas untuk melindungi daripada kepanasan matahari dan hujan.
“Saya telah mengenalpasti potensi besar di sini untuk pembangunan kawasan terutamanya dengan pembangunan yang telah dan sedang rancak dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pasar Tamu Rancangan Belia Tiulon di Sook, di sini baru-baru ini.

Pasar Tamu Rancangan Belia Sook ini mula diwujudkan pada tahun 2021 dengan hanya lapan orang peniaga, dan kini telah berkembang kepada 40 peniaga tetap.
Penaiktarafan pasar ini yang bermula pada 25 September 2024 telah siap sepenuhnya pada 2 April 2025.
Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif FAMA dalam memperkukuh jaringan pemasaran hasil tani luar bandar serta menyokong Dasar Jaminan Makanan Negara.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor pemasaran hasil pertanian luar bandar, khususnya bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif kepada usahawan tani tempatan.
Katanya, projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada pasar tamu yang dikenal pasti memerlukan pembaikan segera atau tidak lagi sesuai digunakan.
Tambahnya lagi, pelaksanaan projek ini dijangka mampu meningkatkan daya saing produk agro tempatan, selain merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat.
Menurutnya, majlis yang diadakan di lokasi pasar tamu itu sendiri telah menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin tempatan, pegawai kerajaan dan para usahawan tani dari sekitar kawasan Sook.
Hadir sama Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri, Pengarah FAMA Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Sarman Sidno serta Pengarah Bahagian Institusi Pasaran FAMA, Mohd. Shahrizan Mansor.
Dengan penaiktarafan ini, pasar tamu kini menawarkan ruang yang lebih kondusif dan sistematik kepada usahawan tempatan untuk menjalankan perniagaan mereka, di samping menjadi tarikan ekonomi mingguan yang berpotensi untuk komuniti setempat.
“Ia juga diharapkan dapat menggalakkan semangat keusahawanan dan memelihara budaya pasar tradisional yang menjadi identiti masyarakat luar bandar,” tambah Arthur lagi. – SABAH MEDIA