KOTA KINABALU — Pelancaran Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) baru-baru ini adalah suatu iltizam dan halatuju baru Sabah dalam sektor tenaga. Pelan menyeluruh ini pasti akan merancakkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, meluaskan akses tenaga luar bandar, serta memacu pelaburan hijau di peringkat serantau.
Melalui pelan ini, ia menetapkan satu sasaran yang berani iaitu 100% elektrifikasi luar bandar menjelang 2030, dan karbon sifar bersih menjelang 2050, di samping hasrat untuk menyumbang sehingga 75% kapasiti tenaga boleh diperbaharui Malaysia menjelang 2040.
Hal ini selari dengan ketegasan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), sebuah badan kawal selia baharu negeri, bahawa SE-RAMP bukanlah sekadar pelan teknikal, namun ia adalah komitmen kepada keadilan tenaga, pemeliharaan alam sekitar, dan ketahanan ekonomi jangka panjang.

Autonomi Dasar di Bawah MA63
Tidak boleh dinafikan, kejayaan pelancaran Pelan SE-RAMP 2040 adalah sedikit sebanyak hasil daripada kejayaan negeri Sabah mendapatkan semula kawalan ke atas dasar tenaga menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Melaluinya, kerajaan Persekutuan telah menyerahkan kuasa kepada Sabah dalam beberapa aspek kritikal seperti Kawal selia bekalan gas dan elektrik, Pentadbiran kehakiman di Sabah dan Sarawak serta Dasar penyerahan semula tanah rizab Persekutuan.
Natijah dari pemberian kuasa ini, ia membolehkan Sabah menyusun strategi dan mempercepatkan kelulusan projek tenaga, kelebihan kompetitif yang ekslusif dicapai berbanding negeri lain.
Kesan daripada penyerahan kuasa autonomi dalam bidang tenaga, ia pasti seperti yang ditegaskan oleh beberapa pakar tenaga tempatan akan membuka ruang besar untuk Sabah membina masa depan tenaganya. Namun pada masa yang sama, kerajaan Sabah juga diingatkan untuk bijak memilih rakan strategik agar ianya tidak merugikan negeri.
Tujuh Tonggak Strategik
Terdapat sebanyak tujuh tonggak utama dalam Pelan SE-RAMP 2040 ini. Ketujuh-tujuh tonggak ini dirancang bagi menangani ketidakseimbangan bekalan tenaga, terutama di kawasan pedalaman yang masih bergantung pada diesel.
Pastinya ia akan memberi manfaat dan menyelesaikan masalah yang selama ini membelenggu rakyat Sabah terutamanya di kawasan pedalaman. Tujuh tonggak yang dimaksudkan itu ialah:
- Elektrifikasi luar bandar sepenuhnya menjelang 2030
- Peningkatan peratusan tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga negeri
- Penambahbaikan kecekapan tenaga dan ketahanan grid
- Pembinaan infrastruktur dan teknologi karbon rendah
- Pengukuhan keupayaan kawal selia tempatan
- Galakan pelaburan hijau
- Sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050
Isu Pelaburan: Siapa Rakan Yang Sesuai?
Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta, kemudahan pembiayaan hijau dengan kadar faedah rendah bersama agensi seperti MGTC. Namun, pemerhati industri memberi amaran agar Sabah berhati-hati.
“Isunya bukan semata-mata modal, tetapi jenis pelabur yang dibawa masuk,” kata seorang perunding tenaga di Kuala Lumpur. “Sabah perlu mengelak daripada bekerjasama dengan pihak yang hanya mengejar keuntungan jangka pendek.”
Antara syarikat yang disebut sebagai rakan strategik yang berpotensi ialah B.Grimm Power dari Thailand, yang mempunyai rekod kejayaan pelaburan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara, termasuk projek besar di Vietnam dan Kemboja.
Merealisasikan pelan SE-RAMP 2040 melalui Projek Utama
Beberapa projek infrastruktur kini sedang dijalankan oleh Sabah Energy Corporation (SEC):
- Ladang solar 5 MW di Tanjong Kubong, Labuan
- Projek hidroelektrik Ulu Padas, yang dijangka menyumbang 15% keperluan grid Sabah
- Kajian kebolehlaksanaan ladang angin berskala besar di Kudat
Pada masa sama, pelaksanaan Pelan Elektrifikasi Luar Bandar Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SabahRE2) membekalkan grid mini komuniti berasaskan solar dan mikro hidro untuk kawasan terpencil — menggantikan set janakuasa diesel yang mahal dan tidak lestari.

Pembangunan Bakat, Ketelusan dan Teknologi
SE-RAMP turut merangkumi penubuhan Pusat Kecemerlangan Tenaga Lestari Sabah, sebagai hab latihan, penyelidikan dan inovasi tenaga boleh diperbaharui, dengan fokus awal kepada sistem solar hibrid, hidro luar grid dan penyelesaian biojisim berskala.
Kerajaan Sabah juga akan mula menerbitkan Laporan Tahunan Tenaga Lestari bermula 2025, meliputi prestasi projek, impak alam sekitar, dan ketelusan fiskal — satu langkah penting untuk menarik pelabur antarabangsa.
Gas Sebagai Penampan Peralihan
Bagi menjamin kestabilan grid semasa peralihan ini, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah memeterai perjanjian bekalan gas selama lima tahun dengan Petronas, sebanyak 16 juta kaki padu standard sehari — sebagai sumber tenaga asas sambil projek boleh diperbaharui berkembang.
PENUTUP
Walaupun hala tuju sudah jelas, pelaksanaan SE-RAMP menuntut disiplin dan keupayaan operasi. Sabah masih berdepan:
- Jurang infrastruktur luar bandar
- Kekurangan tenaga kerja teknikal tempatan
- Keperluan penyelarasan antara agensi dan pelabur
Dalam masa sama, Sabah perlu bersaing dengan pasaran tenaga serantau yang semakin agresif dalam menarik pelaburan hijau.
Sekiranya berjaya, SE-RAMP 2040 boleh menjadikan Sabah sebagai model peralihan tenaga yang inklusif dan lestari — bukti bahawa sebuah negeri dengan autonomi dasar mampu menjadi peneraju perubahan tenaga peringkat nasional dan serantau.
“Apa yang dilakukan Sabah dalam 5 hingga 10 tahun akan datang akan menentukan sama ada pelan ini menjadi kenyataan — atau kekal sebagai dokumen dasar semata-mata,” kata seorang pemerhati