KOTA KINABALU: Seorang doktor dan jururawat cedera ringan selepas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Bulatan Melawa, Jalan Salut Commercial Centre, Sepanggar awal pagi Isnin (23 Jun).
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 1.55 pagi.
Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu serta BBP Lintas digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Welson Juanis, kemalangan itu melibatkan tiga mangsa iaitu doktor, jururawat dan pemandu ambulans.
“Doktor lelaki dan jururawat wanita mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu lelaki berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.37 pagi setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.