KOTA KINABALU — Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim mengecam tindakan peserta demonstrasi di Sabah yang membakar karikatur menggambarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkannya sebagai “biadab” dan “berlebihan”.
Menurut Kamil, aksi tersebut bukan sahaja mencemarkan semangat demokrasi, malah menggambarkan kegagalan penunjuk perasaan untuk menyampaikan hujah secara matang dan bertanggungjawab.
“Tindakan ini berlebihan dan biadab. Ia tidak boleh dianggap sebagai protes aman kerana membahayakan diri dan orang awam. Lebih parah, ia langsung tidak memahamkan masyarakat umum tentang mesej yang ingin disampaikan,” kata Kamil dalam satu kenyataan
“Paling utama, ini tanda kekalahan dalam perlawanan hujah. Hanya aksi kosong untuk kelihatan berani bagi mencuri perhatian,” tambahnya.
Kamil yang juga setiausaha politik kepada perdana menteri di Kementerian Kewangan berkata beliau akan menolak pendekatan sedemikian tanpa mengira siapa yang menjadi sasaran aksi tersebut.
“Muka sesiapa pun (saya tak setuju). Saya secara peribadi menolak pendekatan seperti ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah turut tampil menyatakan pendirian tegas menolak tindakan membakar lukisan karikatur yang menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 yang diadakan baru-baru ini.

Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak menghormati prinsip perbezaan secara matang dan beradab, malah bertentangan dengan semangat serta sejarah panjang perjuangan Perdana Menteri dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa sejak era 1998.
Beliau menegaskan bahawa AMK Sabah kekal komited menjadi suara progresif anak muda yang memperjuangkan agenda antirasuah, reformasi institusi dan pembinaan Malaysia yang adil serta bersih.
Semalam tular video Insiden tersebut yang berlaku pada penghujung protes pelajar anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah di Kota Kinabalu. Karikatur yang dibakar itu turut disertakan kain rentang bertulis “Madani Pelindung Rasuah Sabah”, sebagai kritikan kepada pentadbiran Anwar yang didakwa gagal menunaikan janji reformasi institusi.
Jurucakap kumpulan itu, Fadhil Kasim berkata tindakan tersebut bertujuan menggariskan kekecewaan rakyat terhadap beberapa pelantikan kontroversi, termasuk perlantikan semula Tan Sri Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.