Oleh Sitti Nor Azizah Talata
LAHAD DATU: Dua lelaki warga asing ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam satu operasi di kawasan ladang sawit Kampung Ubi Batu 4, Jalan Dam, di sini, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata kedua-dua suspek berusia 46 dan 60 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, usaha mereka gagal selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis yang akhirnya berjaya menahan mereka.
“Hasil pemeriksaan ke atas salah seorang suspek menemukan sebuah beg silang yang mengandungi 13 paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 50.63 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, polis turut menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Anggaran nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM5,569.30, manakala wang tunai sebanyak RM500 turut disita bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Menurut beliau, kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.