Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) akan memberi sokongan penuh terhadap penerbitan filem ‘Agatis: A Borneo Story’ (AABS) yang dijadual memulakan penggambaran diantara Ogos dan September tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Christina Liew berkata, KePKAS mempunyai sebab kukuh untuk memberikan sokongan, memandangkan potensi filem ini sebagai pemangkin pelancongan hidupan liar.
“Kami akan memberikan bantuan yang diperlukan menerusi agensi kami, Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL). Pertama, ini merupakan filem bertujuan melindungi dan meningkatkan kesedaran tentang Gajah Pygmy Borneo yang terancam.
“Kedua, ini akan menjadi filem pertama di Malaysia yang menjalani penggambaran dalam jarak dekat dengan haiwan itu dibawah pengawasan,” katanya selepas pembentangan projek filem oleh Pengarah Mondo Ab Films Sdn Bhd (MABF), Jeanette Chong Tze Ling, baru-baru ini.

MABF ialah syarikat produksi berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah. Turut hadir ialah Pengarah JHL, Mohd Soffian Abu Bakar.
Jeanette, seorang penulis skrip, pengarah dan penerbit filem berasal dari Sabah, bersetuju bahawa sokongan KePKAS adalah kunci kejayaan AABS.
Ia adalah sebuah filem yang mempunyai tempoh 90 minit yang menampilkan Agatis, seekor Gajah Pygmy betina berusia empat tahun dan Aki, seekor Gajah Pygmy jantan berusia dua tahun dari Pusat Perlindungan Gajah Borneo (BES) di dalam Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Kinabatangan Hiliran.
“Saya berterima kasih kepada Menteri atas bantuannya secara peribadi. Sokongan daripada kementerian dan JHL Sabah akan meningkatkan keyakinan pihak penaja untuk tampil memberikan sumbanganmengikut kemampuan masing-masing.
“Filem ini, yang merupakan skrip keempat saya, bukan sahaja akan ditayangkan di pawagam, tetapi juga akan membuat penampilan di beberapa festival filem.
“Usaha itu juga akan menarik lebih ramai penerbit filem tempatan dan antarabangsa untuk menghasilkan filem di Sabah,” katanya.
Menurutnya, setelah memperolehi dana secukupnya untuk memulakan projek itu, penggambaran dijangka bermula pada pertengahan Ogos atau September depan.