Oleh Florieta Diet
SETELAH hampir dua dekad berjuang dalam industri seni, penyanyi dan penghibur terkenal tanah air, Stacy Anam, akhirnya merealisasikan impian yang lama terpendam iaitu mengadakan sebuah konsert, di negeri kelahirannya, Sabah.

Konsert Aku Stacy yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu pada malam Sabtu (21 Jun) bukan sahaja menandakan kemuncak perjalanan 20 tahunnya dalam dunia hiburan, malah turut menjadi satu detik penuh sentimental buat Stacy.
Dalam konsert tersebut, Stacy mempersembahkan sebanyak 27 lagu dengan penuh bertenaga, disertai tarian yang menarik, sekali gus memukau lebih 3,000 penonton yang hadir.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk ‘Pakai Buang’, ‘Pelangi Senja’, ‘Bosan’, ‘Kasanova’, ‘Aku Stacy’ dan banyak lagi.
Stacy turut menyampai lima lagu duet bersama suaminya, Akim Ahmad.
Semua lagu merupakan antara lagu-lagu hit sepanjang perjalanan seninya. Stacy turut membuat persembahan bertenaga sambil ‘terbang’ di udara, seperti gaya persembahan dinamik yang pernah dilakukannya sebelum ini dalam pertandingan The Hardest Singing Show.

Sepanjang konsert, penonton turut dihiburkan dengan gelagat lucu Atu Zero selaku pengacara jemputan serta persembahan daripada penyanyi jemputan seperti Alica Poujin dan Amir Masdi.
“Sebenarnya, konsert ini sudah saya rancang hampir tiga tahun. Semua yang terlibat bersama saya tahu betapa sentimentalnya malam ini untuk saya. Ini benar-benar konsert Stacy lasak,” katanya dalam sidang media selepas konsert berakhir.
Stacy turut mengadakan sesi autograf bersama para peminat yang hadir sebagai tanda penghargaan.
Menurut Stacy, perjalanan ke malam gemilang itu bukan mudah. Beliau melalui tempoh persediaan selama tiga bulan yang penuh cabaran, termasuk menguruskan anak kecil sambil menghafal skrip dan rutin persembahan.
“Tiga bulan susah tidur. Tiga bulan sambil pegang anak, sambil mahu hafal. Tapi sangat berbaloi malam ini,” katanya, sambil merakamkan penghargaan kepada pihak SICC atas kerjasama mereka dalam penyediaan tempat untuk konsert tersebut.
Malam itu turut menyaksikan Stacy menggayakan sepuluh persalinan pentas yang eksklusif.
Dalam satu detik menyentuh hati, Stacy berkongsi kisah bagaimana arwah abangnya menjadi inspirasi utama dalam karier seninya, khususnya dalam bidang tarian.
“Saya tidak akan menari kalau bukan kerana abang saya. Dia yang mula bawa saya ke dunia tarian. Jadi bila saya menari malam ini, saya dapat rasa keberadaan dia bersama saya,” katanya.
Konsert turut dimeriahkan dengan barisan pemuzik dan penari profesional, serta penggunaan pentas dan peralatan teknikal yang setaraf produksi televisyen.
“Ini impian saya. Biasanya saya bawa produksi seperti ini di TV atau di Semenanjung. Tapi malam ini saya bawa semuanya ke Sabah. Saya sangat bangga dan gembira,” katanya.
Stacy juga menzahirkan penghargaan kepada suaminya, Akim Ahmad, serta syarikat mereka Rhythm & Rhyme (RNR) yang turut menjayakan konsert bersejarah itu.
“Kalau saya tidak jumpa pasangan yang betul, saya pun tidak dapat jalankan konsert ini. Ini satu pelaburan kami sendiri. Terima kasih, Akim,” katanya.
Stacy, yang pernah menyertai Gang Starz, One in a Million, dan menjuarai Akademi Fantasia Musim 6 (AF6) pada 2008, menyifatkan konsert ini sebagai penanda aras baharu dalam kerjayanya.

“Saya sangat gembira kerana dapat mulakan konsert ini di Sabah. Lain perasaan itu, dari umur 14 tahun saya sudah menyanyi di Sugar Bun, Tanjung Aru, lounge kelab, dan bar. Sebab itu saya benar-benar berhati besar untuk mulakan di Kota Kinabalu.
“Saya harap ini permulaan yang baik untuk Stacy dan juga RNR. Insya-Allah, kami akan teruskan ke lokasi lain selepas ini,” katanya.