KOTA KINABALU: United Malaysia, kelab penyokong rasmi Manchester United di negara ini, telah melantik barisan jawatankuasa baharu selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada Sabtu (21 Jun).
EGM yang berlangsung di sebuah hotel di Penampang, berhampiran sini, turut menyaksikan Batholomew Jingulam dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden untuk penggal kelima berturut-turut, sekali gus memperkukuh keyakinan dan kepercayaan ahli terhadap kepimpinannya.
Mesyuarat itu turut menyaksikan pemilihan wajah-wajah baharu serta ahli jawatankuasa yang kembali berkhidmat.
Antara yang dipilih ialah Bryan Faurillo sebagai Timbalan Presiden, manakala sembilan individu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa iaitu Adrian Sibangun, Anita Dingkawan, Dora Limus, Daniel Roman, Durie Rainer Fong, Darrell Ho, Daniel Liew, Pauline Lee dan Tony Henry Lojungin.
Lindsay Michael dilantik semula sebagai Setiausaha dengan Michelle Faurillo sebagai Penolong Setiausaha, manakala Fynn Floyd Wong dinamakan sebagai Bendahari bersama Jillianne Flair Bonnie sebagai Penolong Bendahari.
Presiden turut melantik Simon Peter dan Fazrilan Rusulan sebagai Pegawai Khas.
Dalam laporannya sebelum itu, Setiausaha kelab menekankan pelbagai aktiviti berjaya yang telah dianjurkan sepanjang tahun lalu termasuk United Malaysia Football Carnival, majlis makan malam tahunan, serta lawatan ahli ke Old Trafford, gelanggang rasmi Manchester United.
Batholomew turut merakamkan penghargaan kepada barisan jawatankuasa terdahulu atas dedikasi mereka, dan mengalu-alukan pasukan baharu.
“Terima kasih kepada semua yang telah berkhidmat tanpa jemu dan membantu membina United Malaysia sebagai sebuah keluarga penyokong yang kukuh.
“Kepada jawatankuasa baharu. Tahniah… Marilah kita bekerjasama dengan semangat dan kesatuan untuk membawa kelab ke tahap yang lebih cemerlang dan meraih lebih banyak pencapaian,” katanya.