HomeUtamaStesen Penyelidikan Langom perkukuh komitmen Sabah terhadap pemuliharaan hutan

Stesen Penyelidikan Langom perkukuh komitmen Sabah terhadap pemuliharaan hutan

Read Time:2 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu  : Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) bakal mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini menerusi Majlis Perasmian Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom.

Majlis pelancaran yang dijadualkan berlangsung esok akan diadakan di Kawasan Konservasi Lembah Danum, Lahad Datu, sekali gus memperkukuh komitmen negeri Sabah terhadap pemulihan hutan dan penyelidikan biodiversiti.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, Kementerian SumberAsli dan Kelestarian Alam telah memperuntukkan dana RM5.6 juta yang bertujuan mengukuhkan inisiatif infrastruktur utama penyelidikan saintifik dan pengurusan ekosistem di Sabah.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Malaysia terhadap pembangunan lestari dan pemeliharaan alam sekitar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), 

“Projek ini berpusat di Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom ini terletak dalam Zon Penampan Kawasan Konservasi Lembah Danum. 

“Dengan kedudukannya yang strategik serta prasarana yang lengkap, Stesen Penyelidikan Langom berpotensi untuk menjadi hab serantau bagi kajian biodiversiti, amalan pengurusan tanah secara lestari dan inisiatif pendidikan yang penting untuk perlindungan ekosistem hutan hujan tropika di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, pembinaan Stesen Penyelidikan Langom telah dimulakan pada November 2021 dan telah siap sepenuhnya dan beroperasi pada tahun 2024.

Katanya, kemudahan ini dilengkapi dengan prasarana untuk pasukan penyelidik, ruang untuk bengkel pendidikan alam sekitar, kemudahan latihan lapangan, serta eko-pelancongan, menjadikannya pangkalan penyelidikan yang serba guna dan mampan di salah satu kawasan biodiversiti terkaya di Asia Tenggara.

“Bagi memperkukuh kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat akar umbi, Kumpulan Yayasan Sabah turut melancarkan Program Sekolah Angkat Kelab Pencinta Alam, iaitu satu inisiatif jangka panjang yang bertujuan menanam kefahaman mendalam dan praktikal tentang alam semula jadi dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya. 

Dalam pada itu, Gulamhaidar berkata, program yang dilaksanakan itu turut menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman luar bilik darjah, yang bukan sahaja memberikan pengetahuan alam sekitar, malah melibatkan pelajar secara langsung dalam aktiviti pemerhatian, pertanyaan, dan interaksi.

“Program ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara teori di bilik darjah dan pengalaman ekologi sebenar, sekali gus membentuk pemikiran lestari sejak usia muda, melahirkan pemimpin pemuliharaan masa hadapan, serta menggalakkan penglibatan bermakna antara sekolah dan komuniti. 

“Fasa awal program ini akan memberi tumpuan kepada tiga buah sekolah menengah di Lahad Datu, iaitu SMK Sepagaya Lahad Datu, SMK St. Dominic Lahad Datu, dan SMK Agaseh Lahad Datu. Sekolah-sekolah ini dikenal pasti sebagai rakan strategik berdasarkan lokasi, bilangan pelajar, dan potensi jangkauan impak,” katanya.

Sementara itu, Gulamhaidar berkata perasmian Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom itu menandakan satu langkah besar ke arah Sabah yang lebih hijau dan mampan. 

Katanya, ia melambangkan komitmen berterusan Kumpulan Yayasan Sabah terhadap pemuliharaan biodiversiti, pemulihan ekologi, dan pendidikan alam sekitar yang inklusif. 

“Kami membayangkan Langom bukan sekadar sebuah kemudahan penyelidikan malah, sebuah bilik darjah hidup dan platform kolaboratif bagi pelbagai pihak,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular