PRN SABAH
HomeUtamaTanggungjawab, Akauntabiliti dan Kebebasan Media Perlu Seiring - Majlis Media Malaysia

Tanggungjawab, Akauntabiliti dan Kebebasan Media Perlu Seiring – Majlis Media Malaysia

Read Time:1 Minute, 37 Second

KUALA LUMPUR — Majlis Media Malaysia (MMM) hari ini menegaskan bahawa tanggungjawab, akauntabiliti dan kebebasan media perlu berjalan seiring dalam memastikan profesion kewartawanan kekal dihormati dan berintegriti.

Penegasan itu dibuat susulan kesilapan penerbitan oleh akhbar Sinar Harian berhubung profil Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu, yang mencetuskan kontroversi dan perhatian pihak berkuasa.

“Semua organisasi media perlu bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka siarkan. Bilik berita mesti mempunyai prosedur operasi yang kukuh, selaras dengan etika kewartawanan dan standard profesional,” menurut kenyataan lembaga pengasas MMM.

Bagaimanapun, MMM turut menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan tindakan keras oleh pihak berkuasa dalam menangani kesilapan editorial.

“Pendekatan menghukum melalui undang-undang yang menindas hanya akan melemahkan kebebasan media. Jalan penyelesaian terhadap kewartawanan yang cacat ialah melalui kewartawanan yang lebih baik — bukan melalui intimidasi atau penindasan,” tambah kenyataan itu.

Menurut MMM, Sinar Harian dilaporkan telah memohon maaf dan mengatur pertemuan dengan Ketua Polis Negara yang turut bersetuju untuk hadir, langkah yang disifatkan sebagai penyelesaian konstruktif terhadap isu tersebut.

“Kesilapan, walaupun tidak diingini, boleh berlaku dalam mana-mana profesion. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kesilapan itu ditangani – dengan ketelusan, rendah hati dan iltizam memperbaiki kelemahan.”

MMM juga menyatakan bahawa walaupun badan itu belum berfungsi secara rasmi, insiden ini mengukuhkan keperluan untuk menegakkan nilai-nilai asas kewartawanan yang bertanggungjawab, termasuk semakan fakta yang rapi apabila melaporkan tentang institusi penting negara.

Majlis Media Malaysia ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025, dan lembaga pengasasnya terdiri daripada wakil pemilik media, pengamal media serta masyarakat sivil dan akademik. Antara yang disenaraikan termasuk Phyllis Wong (Borneo Post), Premesh Chandran (Malaysiakini), Radzi Razak (Geramm), Ashwad Ismail (Astro Awani) serta beberapa wakil bukan media Gayathry Venkiteswaran (University of Nottingham Malaysia), Terence Ooi Guan Tseng (Wiki Impact), Azmyl Yunor (Sunway University)

“MMM komited untuk mewujudkan persekitaran media yang menghormati kebebasan bersuara dalam batas profesionalisme dan etika. Akauntabiliti yang konstruktif—dan bukan kawalan yang menghukum—ialah jalan terbaik membina landskap media yang lebih kuat dan dipercayai di Malaysia,” jelas kenyataan itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular