Oleh Normimie Diun
PAPAR: Polis menahan sembilan lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan dan pergaduhan di sebuah restoran di Kinarut, dekat sini melibatkan dua kumpulan warga Pakistan dan warga tempatan berketurunan India dalam insiden yang berlaku petang Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun itu ditahan pada Isnin (23 Jun) selepas menyerah diri kira-kira jam 1 petang.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 6.00 petang pada 22 Jun apabila polis menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 berhubung pergaduhan yang berlaku di restoran terbabit.
“Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada salah faham antara dua individu seorang warga Pakistan yang juga pengusaha restoran dan seorang lelaki tempatan berketurunan India selepas berlaku kesilapan memanggil nama dengan nada kasar.
“Kejadian berlarutan kepada pertengkaran mulut dan cabar-mencabar sebelum tercetus pergaduhan fizikal. Rakan-rakan kepada kedua-dua pihak turut masuk campur dan menyebabkan keadaan menjadi tegang dan tidak terkawal,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Pergaduhan turut melibatkan penggunaan kerusi dan kayu sebagai senjata, namun berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Difahamkan, insiden ini berkait dengan kejadian seminggu sebelumnya yang melibatkan ketidakpuasan hati dalam urus niaga di sebuah premis besi buruk di kawasan sama.
Polis turut mengesahkan bahawa pergaduhan itu telah dirakam dan tersebar di media sosial, antaranya melalui laman Facebook ‘Papar Dihatiku’.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan kerosakan termasuk meja dan kerusi yang berselerakan serta saksi awam yang menyaksikan kejadian,” jelas Kamaruddin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan dan bergaduh di tempat awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mazlan Mali di talian 013-656 4978 atau menghubungi IPD Papar di talian 088-912222.
Kamaruddin turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden tersebut dan menegaskan bahawa kejadian itu berpunca daripada salah faham peribadi, bukan bermotifkan isu global membabitkan konflik antara negara Pakistan dan India.