Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Sebanyak 503 premis ditetapkan di seluruh negeri perlu menjalani pemeriksaan tahunan sebagai syarat utama bagi mendapatkan Perakuan Bomba (Fire Certificate), namun hanya 55 peratus atau 260 premis telah berjaya memperolehinya setakat ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, memaklumkan bahawa sebanyak 67 premis kini berada dalam tempoh notis untuk tindakan lanjut, 116 premis sedang dalam proses permohonan dan telah diberi peringatan untuk memperbaharui sijil, manakala 55 premis dikenal pasti tiada Sijil Perakuan Bomba berkuatkuasa dan telah diberikan peringatan akhir.
“Selain itu, lima premis kini dalam proses pendakwaan atas kegagalan mematuhi keperluan keselamatan kebakaran seperti yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, mewakili beliau merasmikan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran Negeri Sabah Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
“Daripada jumlah ini, kita dapat lihat bahawa sebahagian besar premis telah mematuhi keperluan keselamatan kebakaran. Namun, masih terdapat sebilangan yang memerlukan perhatian serius dan pemantauan berterusan,” kata beliau.
Seminar yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti ini dilihat selaras dengan pelaksanaan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) yang menekankan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat dalam aspek keselamatan.
“Pematuhan terhadap Perakuan Bomba bukan semata-mata tanggungjawab pemilik premis, tetapi juga melibatkan kerjasama agensi penguatkuasaan, pihak pengurusan bangunan, serta seluruh masyarakat.
“Pematuhan terhadap sijil ini perlu didukung dengan program latihan dan kesedaran awam. Ia bukan hanya keperluan teknikal tetapi budaya keselamatan yang wajib diterapkan dalam komuniti,” tambah beliau.
Seminar ini juga membincangkan kepentingan pemeriksaan berkala terhadap sistem keselamatan seperti pemadam api, penggera, dan laluan kecemasan yang menjadi syarat utama untuk memperbaharui Sijil Perakuan Bomba.
Sementara itu, dalam sidang media, Ruslan menyeru agar seminar seumpama ini diteruskan secara berkala bagi memastikan lebih ramai pihak mendapat pendedahan dan bertanggungjawab dalam hal keselamatan kebakaran.
“Dalam seminar ini, sedikit sebanyak ia dapat memupuk kesedaran keselamatan dalam kalangan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa kebakaran rumah juga banyak berpunca daripada masalah elektrikal.
“Elektrikal biasanya mempunyai jangka hayat yang ditetapkan, contohnya 20 tahun, tetapi masih digunakan melebihi tempoh tersebut,” katanya.
Tambahnya, kecuaian juga menjadi punca kebakaran, seperti penggunaan penapis air, pengecas telefon, dan lain-lain. Kesemua ini boleh dielakkan sekiranya kita lebih proaktif dalam meningkatkan kesedaran, termasuk melibatkan agensi kerajaan lain untuk memberi kesedaran di peringkat komuniti kampung.