KOTA KINABALU: Ketua Cabang Keadilan Tuaran, Razeef Rakimin menyifatkan tindakan membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 sebagai perbuatan terdesak untuk meraih perhatian selepas himpunan tersebut gagal mendapat sambutan.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan beberapa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari kedua perhimpunan yang berlangsung Sabtu dan Ahad lalu, selepas jumlah kehadiran peserta dianggarkan sekitar 50 hingga 80 orang sahaja.
“Saya dan Keadilan Sabah konsisten menyokong hak berhimpun dan menyuarakan pendapat asalkan mengikut lunas undang-undang. Sokongan ini telah diberikan sejak mereka mula berdemonstrasi mengenai isu bekalan air dan rasuah. Namun, pendekatan provokatif yang digunakan kumpulan ini seperti sindiran melampau, cacian dan makian telah menjarakkan mereka daripada sokongan rakyat,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Razeef turut memaklumkan berlaku beberapa insiden semasa perhimpunan termasuk kekasaran terhadap peserta yang membawa sepanduk mendesak siasatan terhadap isu ketirisan RM1.5 bilion, selain kejadian pendemonstran meninggikan suara terhadap pegawai polis yang sekadar menjalankan tugas.
“Pegawai polis berkenaan hanya meminta dokumen pengenalan, namun ditengking. Nasib baik anggota itu tenang dan tidak termakan provokasi,” katanya.
Mengulas tindakan membakar karikatur Perdana Menteri, beliau berkata perbuatan itu bukan sahaja tidak rasional, malah menyasarkan pihak yang tidak sewajarnya.
“Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan RM3 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di UMS. Beliau tidak mengambil satu sen daripada projek ini. Jadi mengapa beliau dijadikan sasaran dan bukannya individu yang dituduh terlibat dengan rasuah?”
Razeef turut menyelar tindakan cubaan membakar karikatur tersebut yang bukan sahaja gagal dua kali, malah hampir mencederakan peserta sendiri apabila api dinyalakan ketika petrol sedang dituang.
“Ini bukan soal membersihkan tapak selepas membakar sepanduk, ini soal keselamatan awam di lokasi yang turut dipenuhi pelancong, termasuk semasa acara Tamu Minggu Gaya Street. Tindakan melempar gelen petrol kerana gagal menyalakan api hanya menambah risiko,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perbuatan sedemikian mencemarkan nama baik mahasiswa dan bertentangan dengan budaya sopan rakyat Malaysia.
“Rasuah bukan budaya kita, namun ekstrimisme dan vendalisma juga bukan budaya kita,” tegasnya.