Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Lapan warga asing termasuk seorang dari Belanda (Netherlands) dijatuhi hukuman penjara dan denda kerana memasuki Sabah tanpa pas yang sah.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Tujuh daripada mereka dijatuhi hukuman penjara empat bulan, manakala warga Belanda iaitu Heller Bart dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau empat bulan penjara. Bart gagal membayar denda tersebut.
Bart ditahan di Kaunter Pemeriksaan Imigresen Nombor 7, Balai Pelepasan Domestik, Aras 2, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 9 Jun lalu jam 10 pagi.
Tujuh lagi – Wiwin Jasman, Rudi Yohanis, Rayan Abduni, Muhd Rizuan Nasir, Lita Anggrianu, Amman Sattu, dan Musa Rombe – ditahan di sekitar daerah Keningau pada 10 Jun lalu jam 9.20 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum Di Bawah Seksyen 6(3) Akta yang Sama.
Seksyen itu memperuntukkan denda yang tidak lebih daripada RM10, 000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, dan disebat tidak lebih daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Dua lagi individu iaitu Sudani Ahmad dan Juhani, masing-masing dipenjara enam bulan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negeri ini.
Sudani ditahan pada 7 Mei lalu di Penampang selepas Pas Khas yang dikeluarkan terhadapanya hanya sah laku sehingga 10 September 2024. Dengan itu, tertuduh telah tinggal lebih masa selama lebih tujuh bulan.
Juhani pula ditahan pada 10 Jun lalu di sekitar daerah Keningau selepas didapati Pas Khas miliknya hanya sah sehingga 27 Mac lalu. Tertuduh telah tinggal lebih masa selama lebih dua bulan.
Sudani dan Juhani didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) Dan Boleh Dihukum Di Bawah Seksyen 15 (4) Akta yang Sama.
Hukuman jika sabit kesalahan memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Baxter Junior Goh mengendalikan pendakwaan.