Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Ari Ambo Tang, 42, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Amir Shah Amir Hassan.
Ari didakwa melakukan kesalahan itu pada pertengahan bulan Mac tahun 2025 antara jam 5 petang hingga 8 malam, di daerah Tuaran.
Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 22 Julai sebagai tarikh sebutan kes pra-perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM6,000 beserta dua penjamin tempatan. Syarat tambahan, tertuduh dikehendaki melapor diri dua bulan sekali di balai polis, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan, terutamanya mangsa, sehinggalah kes selesai.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis membantah permohonan jaminan terhadap Ari kerana dia bukan warganegara Malaysia.
Namun, jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan beberapa syarat dikenakan ke atas Ari.
Peguam Lawrence Lim yang mewakili Ari memohon supaya jaminan diberikan atas alasan bahawa tertuduh telah berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai lima orang anak.
Lim turut memberitahu mahkamah bahawa Ari tidak mempunyai pendapatan tetap.