KOTA KINABALU: Masyarakat di negeri ini diseru agar sentiasa menghargai tanah serta hasil pertanian yang menjadi sumber kehidupan kepada ramai rakyat Sabah, khususnya komuniti luar bandar yang bergantung kepada sektor itu untuk meneruskan kehidupan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata walaupun tidak semua rakyat terlibat secara langsung dalam bidang pertanian, sektor berkenaan tetap memainkan peranan penting dalam menjamin kelangsungan hidup masyarakat dan kestabilan ekonomi negeri.
“Mungkin kita tidak bertani, tetapi ada dalam kalangan masyarakat kita yang hidup bertani demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Kadazandusun Cultural Association (KDCA) Kapayan 2026 di Monstera Hall, De Borneo Waterpark, Kepayan, di sini.
Turut hadir Pengerusi Penyelaras KDCA Kapayan merangkap Ahli Majlis Tertinggi KDCA Pusat, Prof Ts. Jude Abel Logijin; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin; Setiausaha Agung KDCA Pusat, Datuk Suman Yasambun; serta Naib Presiden KDCA Pusat, Datuk John Chrysto Masabal.
Joachim berkata, semangat menghargai budaya, perpaduan dan hasil bumi negeri perlu terus dipupuk agar Sabah kekal sebagai negeri yang harmoni, makmur dan kaya dengan warisan tradisi.

Beliau turut mengajak masyarakat supaya mengambil peluang sempena sambutan Pesta Kaamatan untuk terus menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya, bangsa dan agama yang menjadi identiti unik Sabah.
“Hormatilah kepelbagaian yang menjadi keunikan kita di Sabah. Kita sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan mana-mana kaum lain, termasuk mereka yang bukan dalam kalangan kaum KDMR,” katanya.
Menurut beliau, persamaan antara kaum di Sabah dapat dilihat menerusi pelbagai aspek budaya dan tradisi, termasuk penggunaan alat muzik tradisional seperti gong yang sinonim dalam kebanyakan masyarakat di negeri ini.
“Contohnya dari segi peralatan muziknya, rata-rata kaum menggunakan alat muzik gong,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kekayaan budaya yang dimiliki Sabah mempunyai potensi besar untuk memperkukuh industri pelancongan negeri, khususnya sepanjang sambutan Pesta Kaamatan yang menjadi antara acara tahunan utama di Sabah.
“Kaamatan merupakan acara utama yang mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke Sabah,” katanya.
Pesta Kaamatan merupakan sambutan tahunan yang diraikan bagi menghargai hasil tuaian serta memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah. – SABAH MEDIA



