RANAU: Penstrukturan semula Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh organisasi parti, sekali gus memastikan perjuangan dan agenda membela rakyat terus relevan dalam landskap politik semasa.
Ketua Bahagian Kundasang Gagasan Rakyat, Johari Suhaimin berkata, beliau bersama ahli parti di daerah itu menyokong usaha penstrukturan yang dibahaskan sempena Persidangan Agung Khas baru-baru ini.
Menurutnya, proses penstrukturan bukan penghalang kepada kesetiaan serta perjuangan ahli parti, sebaliknya menjadi asas penting dalam memperkemaskan gerak kerja organisasi supaya lebih tersusun, dinamik dan bersedia menghadapi cabaran politik masa depan.
“Penstrukturan yang tersusun mampu melahirkan kepimpinan lebih kuat serta memperkemas jentera parti. Apa yang penting, semua pihak perlu mengutamakan amanah perjuangan, bukan persaingan kedudukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Johari berkata, beliau bersama ahli di kawasan itu turut menyokong kepimpinan Gagasan Rakyat Bahagian Ranau terus diterajui Datuk Seri Masidi Manjun bagi memastikan aspirasi penstrukturan parti serta mandat kepimpinan dapat dilaksanakan selaras dengan keputusan yang dibahaskan dalam Persidangan Agung Khas berkenaan.
“Kepimpinan yang stabil dan berpengalaman amat penting untuk memastikan hala tuju parti terus kukuh, selain memperkasakan peranan parti sebagai wadah perjuangan rakyat Sabah,” katanya.
Tambah beliau, parti itu perlu terus diperkasakan sebagai sebuah parti lokal yang dinamik, progresif dan dekat dengan rakyat, khususnya dalam memperjuangkan hak Sabah serta memastikan suara negeri itu terus dipelihara dalam arus politik nasional.
“Parti ini harus kekal menjadi tunjang harapan rakyat yang mahukan sebuah parti tempatan yang mampu mempertahankan kepentingan Sabah, selain membawa agenda pembangunan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Johari turut menyeru semua ahli dan pimpinan parti agar terus bersatu hati serta memberi komitmen penuh dalam usaha memperkasakan parti demi kelangsungan perjuangan pada masa depan.



