KOTA KINABALU: Kerajaan terus komited memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara menerusi pelbagai inisiatif di bawah kerangka Malaysia MADANI yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk bantuan kos sara hidup serta program pembangunan yang dirangka untuk membantu meringankan beban rakyat di seluruh negara.
Beliau berkata, antara inisiatif yang diteruskan kerajaan ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), subsidi bahan api dan subsidi barangan keperluan asas.
“Di Sabah, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membolehkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan serta bantuan kebajikan disalurkan secara lebih menyeluruh, termasuk kepada masyarakat di luar bandar dan kawasan pedalaman.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Satelit Khas: Kenduri Rakyat MADANI Santuni Kampung Talungan yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan Talungan, Telipok, di sini.

Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).
Mustapha berkata, program seumpama itu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat melalui pendekatan santai, mesra dan inklusif.
Katanya, program berkenaan turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang tepat, menyuarakan pandangan serta berinteraksi secara langsung dengan pelbagai agensi kerajaan melalui mini karnival perkhidmatan yang disediakan.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program termasuk rewang sekampung, pertandingan Sugandoi Kaamatan, pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan, Pocket Talk mengenai isu semasa oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta penyampaian 100 Kotak Kasih MADANI sumbangan JAPEN kepada penerima yang layak.



