Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Sebuah pusat latihan budaya khusus untuk komuniti Bajau dicadang untuk diwujudkan di Sabah bagi memastikan kesinambungan warisan tradisi, sekali gus mendidik generasi muda mengenai sejarah dan identiti kebudayaan mereka.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, berkata cadangan tersebut telah dibincangkan bersama Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew dan akan dibawa ke peringkat kementerian untuk diperhalusi.
“Ada keperluan untuk mewujudkan sebuah institusi atau pusat latihan yang khusus untuk mempraktik dan memperkenalkan budaya ini kepada generasi muda. Kita boleh mendidik mereka mengenai sejarah dan latar belakang Regatta ini melalui pusat seperti ini… ibarat sebuah pusat latihan budaya,” katanya semasa sidang media sempena pelancaran Regatta Lepa Ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini belum terdapat pusat latihan formal khusus untuk komuniti Bajau, dan pewarisan budaya hanya berlaku secara tidak rasmi daripada ibu bapa kepada anak-anak. Justeru, satu sistem latihan berstruktur amat diperlukan bagi memastikan kemahiran tradisional terus hidup dan dikembangkan.
“Pusat ini akan menjadi landasan kepada kesinambungan budaya masyarakat Bajau. Ia juga akan menjadi ruang pendidikan untuk kanak-kanak dan belia, agar mereka tahu dan faham tentang latar belakang budaya nenek moyang mereka seperti makanan, budaya dan tarian tradisi,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata edisi ke-30 Regatta Lepa tahun ini bertemakan “Mairan Addat Bangsa Ta”, yang bermaksud “Pesta Budaya Bangsa Kita”. Regatta Lepa tahun ini membawa mesej yang lebih mendalam, bukan sekadar satu perayaan budaya, tetapi lambang jati diri, kesenian, dan keharmonian pelbagai komuniti di Sabah
“Pelbagai aktiviti telah dijadualkan sepanjang minggu sambutan. Ia bermula pada 24 Jun dengan Bengkel dan Simposium Regatta Lepa yang akan diadakan di Muzium Tun Sakaran, sebagai platform ilmiah untuk berkongsi kajian dan sejarah kebudayaan Bajau.
“Pada 25 Jun pula, acara Sangom Maglami-lami, iaitu sesi akhir Pemilihan Ratu Lepa 2025, akan berlangsung bagi mempersembahkan keanggunan wanita Bajau serta nilai budaya yang tinggi. Sambutan turut dimeriahkan dari 27 hingga 29 Jun dengan pameran agensi dan kraftangan yang menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai jabatan kerajaan, usahawan tempatan, dan penggiat seni kraftangan dari seluruh Sabah,” katanya.
Antara pengisian yang paling membanggakan tahun ini ialah kejayaan penganjuran Igalthon yang telah berlangsung pada 21 Jun lalu di Padang Bandar Semporna. Persembahan ini menyaksikan seramai 1,000 penari tradisional Igal tampil dalam busana lengkap dan mempersembahkan tarian secara serentak, sekali gus bakal mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai Persembahan Tarian Igal Terbesar dan dengan Jumlah Penari Teramai di Malaysia.
Kemuncak sambutan Regatta Lepa 2025 akan diadakan pada 29 Jun, hari Ahad, di Dataran Regatta Lepa dan Padang Bandar Semporna. Antara yang bakal mencuri tumpuan ialah Perarakan Lepa Tradisi yang menampilkan deretan perahu berhias dengan ukiran dan warna-warni warisan, serta persembahan khas pasukan keselamatan yang menunjukkan kecekapan dan kolaborasi antara pasukan beruniform dan komuniti setempat.
Pada malam hari yang dinamakan “Sangom Mairan”, pelbagai acara gemilang akan berlangsung termasuk Majlis Perasmian dan Penutupan Rasmi Regatta Lepa 2025, penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Ratu Lepa dan Lepa Tradisi, penobatan Anugerah Tokoh Regatta Lepa 2025. Acara ini akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api serta persembahan artis-artis tempatan dan kebangsaan.