KUALA LUMPUR : Peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dilaporkan tidak lagi mewakili individu yang mendakwa memiliki bukti rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam skandal pemberian lesen mineral di Sabah.
Sumber terdekat denganya memaklumkan perkara itu, namun meminta agar pihak Sabah Media mendapatkan pengesahan rasmi diperoleh daripada Shafee sendiri.
Pada November tahun lalu, media melaporkan Shafee menawarkan diri untuk mewakili seorang pemberi maklumat secara pro bono (percuma), dengan matlamat untuk mewujudkan satu preseden undang-undang dalam melindungi pemberi maklumat pada masa akan datang.
“Saya mengambil kes ini bukan kerana politik, tetapi bagi memastikan pemberi maklumat dilindungi dan tidak ditakut-takutkan,” katanya seperti dilaporkan sebelum ini.
Sabah Media kini menanti respon dari peguam berkenaan berhubung perkara ini selepas dihubungi.
PEGUAM AHLI PERNIAGAAN AKUI ANAK GUAMNYA AKAN DITUDUH
Dalam pada itu, minggu lalu, peguam kepada seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal berkenaan, Mahajoth Singh, mendedahkan bahawa anak guamnya akan didakwa di mahkamah pada 30 Jun ini.
Menurut Mahajoth, anak guamnya yang dikenali sebagai Albert, 36, telah menyerahkan pelbagai bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk video, dokumen dan mesej WhatsApp yang didakwa mengaitkan beberapa ADUN dalam isu sogokan bagi mendapatkan lesen carigali mineral.
walau bagaimanapun, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, menjelaskan bahawa berdasarkan Seksyen 11(1) akta tersebut, mana-mana individu yang turut terlibat dalam kesalahan yang didedahkannya tidak layak dilindungi sebagai pemberi maklumat.
“Jika seseorang itu turut melakukan kesalahan, maka dia tidak dilindungi di bawah akta ini dan tidak dianggap sebagai ‘whistleblower’,” katanya kepada Bernama.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM hari ini menahan seorang lagi ADUN Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 berkaitan pengeluaran lesen carigali di negeri itu.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Difahamkan, suspek yang juga merupakan pembantu menteri negeri itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024.